Berbeza dengan Selangor dan TFC, skuad Jang bukti tak perlukan TD, cukup miliki figura cekap bola sepak


  • Podium
  • Rabu, 19 Nov 2025

Skuad Jang tampil dengan aksi lebih berani dan memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Super. — Facebook/nsfc

PERANAN Pengarah Teknikal semakin mendapat tempat dalam struktur kelab bola sepak moden apabila fungsi jawatan itu bukan sekadar menjadi penghubung antara pengurusan dan ketua jurulatih.

Sebaliknya, mereka turut memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju serta identiti pasukan.

Selain menyelaras hubungan dalaman, Pengarah Teknikal lazimnya mengetuai proses pencarian bakat, pemilihan pemain dan pelbagai tugasan berkaitan pembinaan skuad.

BACA LAGI: Tak semuanya mudah, Faisal Halim antara 3 bintang HM berjaya bangkit hadapi 'mimpi ngeri'

BACA LAGI: 'Setia ketika pasukan barai', skuad Jang diharap tak mudah lepaskan Sasaki

Skuad Jang kini tampil lebih garang dan memberikan saingan lebih meyakinkan dalam aksi Liga Super. Facebook/nsfc

Tidak hairanlah ramai berpendapat jawatan tersebut lebih ideal disandang oleh bekas pemain profesional atau bekas ketua jurulatih yang memiliki pengalaman luas dalam selok-belok bola sepak demi memastikan operasi pasukan berjalan lancar dan berkesan.

Tumpuan terhadap peranan itu kembali hangat selepas dua pasukan Liga Super iaitu Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) dilaporkan sedang mencari individu yang sesuai untuk mengisi kekosongan Pengarah Teknikal susulan prestasi semasa mereka yang dilihat semakin tidak konsisten.

Selangor ketika ini tidak memiliki Pengarah Teknikal sejak kali terakhir jawatan tersebut disandang Dennis Bekking pada 2022.

Ketiadaan figura penting itu dikaitkan dengan isu pemilihan pemain yang kurang berkualiti, ditambah pula prestasi tidak menentu termasuk tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) apabila tewas dalam kesemua empat aksi Kumpulan G tanpa mengutip sebarang mata setakat ini.

Selangor terpaksa menelan kepahitan selepas tersingkir daripada saingan ACL2. Facebook/selangorfc

Turut berkongsi nasib sama ialah Terengganu FC yang kali terakhir mempunyai Pengarah Teknikal pada 2022 menerusi Tomislav Steinbruckner.

Prestasi skuad Sang Penyu dalam Liga Malaysia ketika ini turut menimbulkan kebimbangan.

Perkara itu menyebabkan pihak pengurusan melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai mengesahkan mereka sedang menilai calon tempatan dan luar negara untuk mengisi kekosongan itu.

Sang Penyu mempamerkan prestasi kurang meyakinkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Facebook/terengganufc

Namun, situasi berbeza dapat dilihat di Negeri Sembilan FC (NSFC) yang tampil mengejutkan musim ini.

Meskipun tidak memiliki Pengarah Teknikal, skuad Jang mempamerkan prestasi memberangsangkan dan mampu bersaing dengan pasukan-pasukan utama Liga Super, sesuatu yang tidak dijangka selepas menamatkan musim lalu di tangga tercorot.

Keberkesanan pasukan itu banyak dikaitkan dengan kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Faliq Firdaus yang mempunyai latar belakang kukuh dalam dunia bola sepak.

Berpengalaman dalam pemasaran sukan, pernah berkhidmat di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Malaysian Grassroots League (MGL), serta memiliki pengalaman luas dalam bidang media sukan.

CEO NSFC, Faliq Firdaus memiliki latar belakang yang kukuh dalam dunia bola sepak. Facebook/nsfc

Faliq kini muncul sebagai CEO termuda dalam Liga Malaysia pada usia 31 tahun, faktor yang dilihat menyumbang kepada kebangkitan NSFC musim ini.

Kisah berbeza tiga pasukan itu sekali lagi membuka perdebatan mengenai keperluan sebenar seorang Pengarah Teknikal dalam sesebuah kelab, satu jawatan yang boleh menjadi pemangkin kejayaan.

Namun, tidak semestinya wajib jika kelab mempunyai struktur kepimpinan yang memahami selok-belok bola sepak dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram