Peluang di sebalik dugaan, 3 'ubi muda' wajar diuji tampung kehilangan Garces


  • Podium
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Ubaidullah mampu bergandingan dengan mana-mana bek tengah senior. —Facebook/MalaysiaNT

 

KEPUTUSAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes pemalsuan dokumen sedikit sebanyak merencatkan pelan skuad Harimau Malaya.

Mana tidaknya, sebahagian tujuh pemain warisan yang dikaitkan dengan kes berkenaan merupakan tonggak penting Harimau Malaya, walaupun baru sahaja menyarung jersi Malaysia pada Jun lepas.

Kehilangan dua pertahanan iaitu Facundo Garces dan Jon Irazabal antara yang paling dirasai susulan kedua-dua mereka watak penting pada aksi kemenangan menentang Vietnam dan Singapura sebelum ini.

BACA LAGI: Harimau Malaya sedia segala kemungkinan berdepan Nepal kendalian legenda The Gorkhalis

BACA LAGI: Rayuan FAM ditolak FIFA tak lunturkan semangat Harimau Malaya

 

 

 

 

Berikutan keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, Peter Cklamovski selaku pengendali Harimau Malaya perlu segera mencari pengganti.

Cklamovski baru-baru ini sudah mengeluarkan senarai nama 27 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F bertemu pasukan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November 2025.

Bagaimanapun, pengendali dari Australia berkenaan masih boleh memantau perkembangan tiga pemain muda ini sebagai sandaran di posisi pertahanan tengah.

1) Aysar Hadi

 

 

 

 

Pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Aysar Hadi terus mencuri perhatian sebagai antara pertahanan tengah yang wajar berada dalam radar skuad Cklamovski menjelang aksi antarabangsa akan datang.

Kapten JDT II itu merupakan tonggak penting skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), dengan ketenangan serta disiplin tinggi ketika mengemudi benteng pasukan kendalian Nafuzi Zain.

Konsistensinya bersama JDT II dan prestasi memberangsangkan di pentas antarabangsa sebelum ini menjadi sebab utama namanya kekal relevan untuk dipertimbangkan menyarung jersi kebangsaan.

Kelebihan Aysar tidak terhad sebagai pertahanan tengah semata-mata, malah pemain berusia 22 tahun itu turut memiliki versatiliti untuk beraksi sebagai pemain tengah bertahan satu aset berguna bagi Harimau Malaya.

Walaupun belum menikmati minit permainan memuaskan bersama skuad utama JDT, Aysar dilihat sebagai prospek masa depan yang boleh digilap bagi memperkukuh benteng negara.

2) Paarven Waran

 

 

 

 

Beraksi di posisi pertahanan tengah, Paarven Waran menjadi antara tonggak utama JDT IV ketika Piala Belia musim lalu dan peranannya membantu pasukan itu merangkul kejuaraan tidak boleh dinafikan.

Selepas menutup lembaran bersama Harimau Selatan, pemain kacukan Malaysia–Australia itu menandatangani kontrak bersama kelab Divisyen Dua Portugal, FC Vizela pada 3 Ogos lalu dan kini akan menyertai skuad Bawah 19 tahun mereka.

Walaupun tidak beraksi dalam liga senior buat masa ini, penyertaannya ke Vizela bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan skuad B-19 kelab itu merupakan juara kebangsaan Divisyen Kedua musim lalu.

Dengan ketinggian 1.92 meter, Paarven memiliki fizikal sesuai untuk menyaingi corak permainan Eropah yang lebih agresif dan berintensiti tinggi.

Selain itu, ketinggiannya yang hampir menyamai Garces memberi gambaran bahawa dia berpotensi memperkukuh barisan pertahanan negara sekiranya diberi peluang beraksi di peringkat antarabangsa.

3) Ubaidullah Shamsul

 

 

 

 

Bek tengah Terengganu FC (TFC), Ubaidullah Shamsul kembali dipanggil ke kem Harimau Malaya namun masih kurang diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

Sejak menerima panggilan pertama ke skuad negara pada November 2024, pemain berusia 21 tahun berkenaan baru tiga kali diturunkan sebagai pemain utama.

Dengan kehilangan khidmat Garces dan Irazabal, Cklamovski dilihat wajar memberi lebih banyak minit permainan kepada Ubaidullah untuk membina keyakinan serta keserasian bersama pemain senior.

Anak jati Kelantan itu sudah membuktikan keupayaannya apabila beraksi 90 minit penuh dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F, ketika Malaysia menang 3-0 dan 5-1 ke atas Nepal.

Keserasian bukan isu buatnya kerana Ubaidullah mampu bergandingan dengan mana-mana bek tengah lain termasuk Shahrul Saad dan Harith Haiqal.

Di peringkat kelab, prestasinya tidak perlu dipertikaikan apabil muncul dalam 60 perlawanan sambil menjaringkan dua gol dan mencipta dua bantuan gol untuk Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram