PRESTASI konsisten terus ditampilkan skuad muda Gergasi Merah dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini apabila mereka mengukuhkan kedudukan di tangga teratas.
29 mata dikutip hasil sembilan kemenangan dan dua keputusan seri menceritakan keampuhan Selangor FC II yang dibarisi nama-nama berpotensi besar seperti Abdul Rahman Daud, Harry Danish dan Raimi Shamsul.
Statistik lain turut menceritakan bagaimana lengkapnya pasukan kendalian Adi Harmizi Ariffin itu dengan 36 jaringan dicatatkan sementara hanya lima gol dibolosi.
BACA LAGI: Jumpa Sang Kenari, Perak tak boleh sia-siakan peluang kaut 3 mata dari 'lubuk' Liga A1
BACA LAGI: Daniel Hakimi: Permata baharu bola sepak Perak bakal jadi rebutan kelab gergasi

Skuad muda Gergasi Merah terus bersemangat untuk mengukuhkan lagi kedudukan di tangga teratas liga. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, ujian besar menanti pasukan Lembah Klang itu pada Jumaat apabila mereka akan bertandang ke Utara tanah air untuk berdepan Kedah FA.
Pasukan yang berada di tangga keempat liga tersebut menikmati prestasi cukup baik dengan tiga kemenangan direkodkan dalam lima aksi terakhir.
Ini akan memberikan ujian sebenar buat Selangor FC II dalam usaha menjarakkan lagi kedudukan dengan pasukan lain dalam Liga A1 Semi Pro.
Jadi, sekiranya mereka mahu meraih kemenangan di Stadium Darul Aman, Kedah, terdapat tiga tonggak tuan rumah yang perlu diberi perhatian sepenuhnya.
1. Azeez Adam
Penyerang dari Nigeria, Azeez Adam menjadi pilihan Kedah FA sebagai tonggak di barisan hadapan pasukan musim ini selepas dia pernah beraksi buat PT Athletics FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro sebelum ini.
Kepercayaan itu mula terbalas apabila import tersebut muncul penjaring terbanyak pasukan setakat ini dengan empat gol sudah direkodkan.

Empat gol dicetak Azeez meletakkannya sebagai penjaring terbanyak skuad Lang Merah musim ini. — Facebook/Kedah FA
Meskipun catatan berkenaan tidaklah begitu menakjubkan, sumbangannya amat penting pada waktu tertentu seperti ketika menyumbat jaringan sulung dalam aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Jadi, sekiranya mahu mengelak Kedah FA terus mengganas di laman sendiri, skuad muda Gergasi Merah perlu mencari cara untuk menyekat pergerakan Azeez Adam.
Kebolehannya untuk mencari ruang selain mempunyai kelebihan fizikal merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam misi mengekang penyerang itu serta skuad Lang Merah secara keseluruhan.
2. Rahmat Makasuf
Pelaburan besar-besaran dibuat pihak pengurusan Kedah FA apabila sanggup berbelanja dalam mendapatkan khidmat pemain sayap, Rahmat Makasuf yang berpengalaman luas dalam Liga Super.
Sebelum mencuba nasib dalam Liga A1 Semi Pro, dia terlebih dahulu mewakili dua pasukan ternama tanah air iaitu Terengganu FC dan Penang FC.

Rahmat berjaya memberi sumbangan penting buat skuad Lang Merah. — Facebook/Kedah FA
Bagaimanapun, isu kecederaan menyebabkannya sukar mendapat minit permainan secara kerap sebelum memaksanya menyertai skuad Lang Merah pada jendela perpindahan lalu.
Tempo permainan kurang mencabar dan gaya skuad Lang Merah yang sesuai dengan pergerakannya membolehkannya kembali ke prestasi terbaik dengan tiga gol sudah dicatatkan.
Jumlah itu perlu membuka mata barisan kejurulatihan Selangor FC II yang tidak boleh memberi ruang besar buat Rahmat sekiranya tidak mahu benteng pertahanan kucar-kacir sepanjang 90 minit perlawanan.
3. Aiman Afif
Penyerang sayap, Aiman Afif memilih untuk terus kekal di negeri kelahirannya dengan menyertai Kedah FA susulan kegagalan KDA FC kekal di pentas Liga Super.
Dia memilih untuk mengikut jejak beberapa rakan sepasukannya serta pengendali, Victor Andrag yang memilih mengubah angin dalam karier dengan meninggalkan skuad Hijau Kuning.

Aiman kembali mendapat rentak dalam Liga A1 Semi Pro bersama skuad Lang Merah. — Facebook/Kedah FA
Keputusan tersebut mula membuahkan hasil apabila dia semakin kerap diturunkan di samping turut menjadi watak penting di hadapan pintu gol lawan.
Dua jaringan direkodkan setakat ini menunjukan Aiman Afif sudah mendapatkan keyakinan semula setelah bertahun-tahun menunggu untuk mencetak gol di pentas Liga Super.
Meskipun terdapat perbezaan dari segi rentak permainan, keberadaan pemain berusia 25 tahun itu dalam skuad Lang Merah perlu diperhatikan Selangor FC II. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
