KELAB jemputan baharu Liga Super musim 2025/2026, DPMM FC masih gagal menampilkan prestasi meyakinkan apabila terus bergelut dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan itu.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, kelab berpangkalan di Brunei itu hanya mencatat satu kemenangan, dua keputusan seri dan lima kekalahan. Rekod itu meletakkan mereka di tangga ke-11 liga dengan hanya mengumpul lima mata.
Prestasi hambar tersebut menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong yang menyifatkan skuad kendalian DPMM kini seakan menjadi pasukan belasahan dalam Liga Super musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam deja vu, JDT sekali lagi ulangi sejarah 'perfect 10' lepas benam DPMM
BACA LAGI: DPMM belum setahap JDT, tiba masanya Munoz berikan 3 bintang tersisih minit permainan
Sebahagian besar penyokong mencadangkan agar pengurusan kelab segera melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan bagi memperbaiki prestasi dan mengelak daripada terus terperosok di zon bawah liga.
Dengan baki perlawanan yang masih panjang, DPMM juga sudah membuat inisiatif untuk menguji tiga pemain Malaysia untuk dibawa masuk ke dalam skuad berkenaan menjelang jendela perpindahan kedua nanti.
Desas-desus berkenaan mula menjadi topik perbualan penyokong selepas laman Facebook, Bikem Studio membuat hantaran mengenai tiga pemain yang dikaitkan dengan DPMM FC.
1) Arif Shaqirin

Arif bersama KL City pada musim 2023. — Facebook/KLCity
Walaupun bukan nama besar dalam arena bola sepak tempatan, pemain serba boleh, Arif Shaqirin kembali menjadi tumpuan selepas berstatus ejen bebas dan bersedia membuka lembaran baharu dalam kariernya.
Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama seperti PKNP FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Perak FC, sekali gus membuktikan pengalamannya dalam saingan kompetitif Liga Malaysia.
Sepanjang karier profesionalnya, Arif mencatat 42 penampilan bersama skuad Warga Kota, selain beraksi dalam lima perlawanan bersama Perak FC pada musim 2022.
Arif bukan sahaja mampu beraksi di posisi sayap kanan, malah turut berupaya bermain di posisi tengah menyerang, menjadikannya aset berguna buat mana-mana pasukan yang memerlukan keseimbangan di bahagian serangan dan tengah.
Dengan pengalaman luas dan kemampuan bermain di pelbagai posisi, Arif kini dilihat bersedia untuk mencari cabaran baharu bagi mengembalikan semula rentak terbaiknya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
2) Azalinullah Alias

Azalinullah cemerlang membantu skuad TBG pada musim 2023. — Facebook/PerakFC
Karier pemain tengah berbakat, Azalinullah Alias kembali ‘hidup’ selepas menyertai skuad The Bos Gaurus pada musim 2023, yang sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan profesionalnya selepas tempoh sukar di Terengganu FC.
Bekas tonggak Harimau Muda C itu sebelum ini diketepikan oleh bekas jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrucknerberikutan persaingan sengit dan lambakan pemain di posisi tengah.
Namun, perpindahan ke skuad Perak terbukti menjadi keputusan tepat apabila Azalinullah kembali diberi kepercayaan untuk memimpin jentera tengah pasukan berkenaan.
Bersama Perak, pemain berusia 29 tahun itu mempamerkan prestasi konsisten dan diberi peluang beraksi dalam 21 perlawanan Liga Super, sekali gus menjadi antara nadi utama dalam sistem permainan TBG musim tersebut.
Bagaimanapun, kegemilangan Azalinullah bersama skuad Utara tanah air itu tidak bertahan lama apabila isu kewangan yang melanda Perak FC menyebabkan pasukan tersebut digugurkan daripada saingan Liga Super musim berikutnya.
3) J. Partiban

Partiban membantu KDA FC pada musim 2023. — Facebook/KDAFC
Seorang lagi pemain sayap berada dalam pantauan DPMM FC ialah J. Partiban selepas dilaporkan dia tidak lagi menyarung mana-mana jersi untuk pasukan Liga Malaysia musim ini.
Pemain berusia 32 tahun itu berkebolehan untuk diturunkan dalam tiga posisi berlainan sama ada di kiri ataupun kanan sayap serta tengah menyerang di bahagian kiri.
Berketinggian 1.75 meter, anak jati Perak berkenaan merupakan pemain kidal yang memiliki sepakan padu dari jarak jauh itu mampu menjadi senjata untuk DPMM FC.
Dalam saingan Liga Malaysia, Partiban sudah beraksi untuk kelab-kelab berprestij seperti Terengganu, Perak FA, Kuala Lumpur dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pencapaian terbaiknya bersama skuad Warga Kota apabila dia tampil dalam 65 perlawanan dan sempat mencetak empat gol dan 10 bantuan jaringan untuk skuad KL City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
