KELAB Terengganu FC (TFC) mengakui bakal berdepan cabaran getir pada perlawanan kedua suku akhir Piala FA menentang Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, Sarawak pada Selasa.
Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, kekalahan besar di tangan The Cats pada aksi pertama suku akhir 17 Oktober lepas semestinya memberi tamparan hebat dan pengajaran berguna kepada skuad Penyu itu.
Bagaimanapun, dia berkata, barisan kejurulatihan telah mengenal pasti kelemahan yang ada dan rombakan kecil akan dilakukan pada skuad utama yang bakal diturunkan nanti.
BACA LAGI: Terengganu panggil Badrul Afzan, akan buat rombakan pemain
BACA LAGI: Terengganu jangan malu panggil semula Nafuzi atau Hai-O demi perbaiki musim hambar
"Kali ini skuad Penyu bertandang ke Sarawak dengan misi mendapatkan kemenangan dan menebus maruah yang tercalar akibat kekalahan teruk tempoh hari.
"Saya harap pemain sedar situasi sekarang dan pergi berjuang atas nama TFC. Saya juga harap pemain akan melakukan sesuatu untuk kita dapat menjaringkan gol," katanya.
Badrul Afzan berkata, dia juga berasa sedikit lega kerana pemain sayap lincah, Muhammad Akhyar Rashid sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dan boleh beraksi pada Selasa.
Badrul Afzan berkata, kehadiran Muhammad Akhyar pastinya memberi suntikan motivasi kepada skuad Penyu yang ketika ini masih bertahan di kedudukan ketiga Liga Super.
"Tetapi kita juga agak terkilan kerana terpaksa melupakan khidmat kapten pasukan Mohd Shahrul Nizam Ros Hasni yang telah menerima dua kad kuning.
"Saya harap pemain dapat tampil dengan corak permainan terbaik dan membawa pulang kejayaan untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala FA," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
