[VIDEO] Ulangi sejarah Faiz Subri, bek Indonesia tercalon Anugerah Puskas


  • Podium
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Rizky (kiri) menjadi pemain kedua selepas Faiz Subri yang berada dalam pencalonan Anugerah Puskas.

KENANGAN yang menyaksikan pemain tempatan, Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas 2016 hasil jaringan cantiknya bersama Penang FA masih mekar sehingga hari ini.

Manakan tidak, pencapaian tersebut membolehkan anak jati Pulau Pinang itu berada di samping bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi pada malam anugerah berkenaan.

Kejayaan itu turut diraikan peminat bola sepak sekitar Asia Tenggara kerana ia merupakan kali pertama seseorang dari rantau tersebut berjaya tercalon.

BACA LAGI:[VIDEO] 'Penang kilang Puskas', jaringan memukau keeper muda Harimau Kumbang imbau kenangan gol Faiz Subri

BACA LAGI:[VIDEO] Garnacho julang Anugerah Puskas 2024, ikut jejak langkah Cristiano Ronaldo 15 tahun lalu

Faiz Subri menjadi pemain pertama dari Asia Tenggara yang tercalon dan memenangi Anugerah Puskas.

Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun penantian, penyokong sekali lagi berpeluang menyaksikan wakil Asia Tenggara membawa pulang Anugerah Puskas, sekali gus mengulangi sejarah yang dicipta Faiz Subri.

Ini selepas bek kebangsaan Indonesia, Rizky Ridho meletakkan dirinya dalam senarai akhir anugerah berkenaan menerusi satu gol menarik pada 9 Mac tahun lalu.

Ketika itu, pemain pertahanan berkenaan turun beraksi buat Persija Jakarta dalam saingan Liga 1 Indonesia menentang Arema FC di laman sendiri.

Selepas melarikan bola dari kawasan penalti sendiri, Rizky kemudian saling membalas hantaran bersama rakan sepasukan sebelum menyedari penjaga gol lawan tidak berada dalam posisi yang baik.

Pemain berusia 23 tahun itu lalu melakukan percubaan dari tengah padang yang menyaksikan penjaga gol lawan langsung tidak berpeluang menepis bola.

Jaringan tersebut kemudian dicalonkan kepada panel FIFA bagi tujuan penilaian dengan mereka sudah tentu berpuas hati dengan kualiti gol berkenaan.

Ini sekali gus menyaksikan Rizky berada dalam 11 senarai akhir di samping calon lain seperti pemain tengah Arsenal, Declan Rice serta bintang muda antarabangsa, Lamine Yamal.

Berdasarkan pengumuman, peminat sudah boleh melakukan undian menerusi laman sesawang rasmi FIFA dengan setiap pendaftaran boleh memilih tiga gol terbaik.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram