
SELEPAS hampir lima tahun bersama, pertahanan tengah Selangor FC iaitu Safuwan Baharudin, dilaporkan bakal meninggalkan Selangor FC apabila kontraknya bersama Gergasi Merah bakal tamat hujung Mei ini.
Desas-desus itu mengejutkan ramai peminat bola sepak tempatan memandangkan Safuwan merupakan antara tonggak utama dalam pasukan dengan dia sudah memberi kekuatan kepada barisan pertahanan Selangor, dan pemergiannya pasti meninggalkan kekosongan yang besar.
Persembahannya yang konsisten serta kepimpinannya di atas padang telah membantu meningkatkan prestasi pasukan. Safuwan juga dikenali kerana ketenangannya ketika mengawal bola dan kemampuannya membaca pergerakan lawan.
BACA LAGI: Jordi Amat disebut-sebut ke Liga 1, fans Singapura ramal Safuwan isi kekosongan Asean JDT
BACA LAGI: Lagu See You Again jadi klu jodoh Safuwan Baharudin bersama Gergasi Merah terlerai sudah
Meskipun belum ada pengumuman rasmi daripada kelab mahupun pemain itu sendiri, khabar angin mengenai pemergiannya semakin kuat diperkatakan dengan pelbagai kelab tempatan mahupun pasukan dari Liga Singapura dikaitkan dengannya.
Sekiranya bek berusia 33 tahun itu akan mengundurkan diri dari Selangor, pihak pengurusan perlu mencari pengganti yang setara dari segi pengalaman dan kualiti untuk memastikan kestabilan benteng pertahanan.
Sebagai persediaan awal sekiranya Gergasi Merah kehilangan Safuwan, pihak kejurulatihan dan pengurusan Selangor boleh mempertimbangkan tiga pemain pertahanan untuk membantu mereka pada saingan musim depan.
1) Adam Norazlin
Adam pernah menyarung jersi Selangor selama dua musim. — Facebook/Sri Pahang
Musim 2024/2025 boleh dikatakan sebagai musim kemunculan kembali Adam Nor Azlin dalam saingan Liga Super selepas keputusannya meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan menyertai Sri Pahang pada awal 2024 mengubah kariernya.
Keputusannya menyertai pasukan Pantai Timur itu nyata berbaloi apabila dia sudah merekodkan 26 penampilan domestik bersama Tok Gajah. Adam juga membantu Tok Gajah mara ke pusingan final Piala Malaysia selepas 11 tahun.
Bagaimanapun, musim yang kurang menggembirakan juga buat pemain berusia 29 tahun itu apabila Adam diuji dengan masalah tunggakan gaji dek Sri Pahang dilaporkan menghadapi masalah kewangan.
Dengan masalah dalaman begitu, tidak mustahil jika pemain berusia 29 tahun berkenaan mahu mencari kelab baharu yang lebih stabil tapi masih menjanjikan minit permainan buat kariernya.
Oleh itu, Gergasi Merah boleh mempertimbangkan untuk bersatu semula dengan Adam dengan pemain terbabit juga sudah mengetahui selok-belok bagaimana suasana bekas majikannya pada musim 2016 dan 2017.
Semasa bersama Selangor, Adam menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Dia menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia 2016 menentang Kelantan, yang berakhir dengan kemenangan 1-0 untuk Selangor.
2) Rizky Ridho
Rizky juga merupakan ketua pasukan Persija Jakarta. — Facebook/PersijaJakarta
Rizky Ridho dilihat sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan Safuwan Baharudin di Selangor FC, terutama dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan menjelang saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Pemain berusia 23 tahun berkenaan mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Indonesia boleh membantu Selangor beradaptasi dengan tempo permainan yang lebih pantas dan intense.
Dalam persaingan ACL2, cabaran yang bakal dihadapi pastinya lebih tinggi dan kehadiran pemain pertahanan yang berkualiti seperti Rizky adalah penting untuk memastikan Selangor kekal kompetitif.
Tambahan pula, kehadiran Rizky juga dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang bijak oleh pengurusan kelab. Bakatnya yang masih berkembang memberi ruang kepada Selangor untuk membentuknya menjadi tonggak utama pasukan dalam tempoh beberapa musim akan datang.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.83 meter itu sudah bermain dalam 26 perlawanan Liga 1 Indonesia untuk Persija Jakarta musim ini dan Rizky juga sudah mencetak satu gol serta satu bantuan jaringan buat kelabnya.
3) Gabriel Peres
Peres sudah bersama Sabah sejak musim 2023. — Facebook/SabahFC
Pertahanan tengah import Sabah FC, Gabriel Peres boleh menjadi pilihan Selangor FC untuk mengisi tempat Safuwan sekiranya ketua pasukan Gergasi Merah itu bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kelabnya.
Dengan fizikal yang kukuh, ketinggian menggerunkan pada 1.97 meter serta ketenangan dalam mengawal bola, bek kelahiran Brazil itu mampu menjadi benteng ampuh di jantung pertahanan Gergasi Merah.
Pengalamannya bersama skuad The Rhinos dalam saingan Liga Malaysia membuktikan bahawa dia sudah serasi dengan gaya permainan tempatan dan tidak memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan diri.
Peres memiliki kelebihan dari segi kekuatan fizikal, kepintaran membaca permainan, serta keupayaan dalam situasi bola mati.
Buktinya, Peres sudah merekodkan lima gol dan empat bantuan jaringan dalam 17 aksi dia diturunkan musim ini.
Dengan kombinasi pengalaman, kekuatan fizikal dan pemahaman mendalam terhadap liga tempatan, Peres boleh menjadi aset utama dalam misi Selangor untuk melangkah lebih jauh di ACL2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram