KHABAR angin mengatakan pemain sayap lincah, Saddil Ramdani akan meninggalkan Sabah FC bukanlah sesuatu yang baharu kerana dia sudah berkali-kali menjadi bahan bualan setiap kali jendela perpindahan dibuka.
Dia yang sudah beraksi buat skuad Sang Badak sejak 2021 tidak lagi diperkenalkan kerana kualitinya di atas padang sudah cukup menceritakan gaya permainannya.
Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat lambakan pasukan berminat dengan khidmatnya, termasuk Selangor FC yang mahu memperkuatkan lagi barisan serangan mereka.
BACA LAGI: Kembali ke padang latihan, Saddil tepis khabar angin tinggalkan Sabah
BACA LAGI: Kes Faisal Halim akan jadi 'rujukan' tapi siasat dulu siapa kawal Instagram Saddil Ramdani

Saddil menjadi tonggak Sang Badak sejak menyertai kelab tersebut pada 2021.
Baru-baru ini, ura-ura sama kembali timbul dengan mengatakan kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung mahu menandatangani penyerang sayap itu pada jendela perpindahan akan datang.
Khabar angin berkenaan mula bertebaran di media sosial kerana laporan semasa mengatakan kebanyakan tonggak pasukan tersebut akan mengucapkan selamat tinggal dalam masa terdekat.
Oleh itu, bagi memastikan kualiti pasukan tidak terjejas, pasukan yang menduduki tangga teratas Liga 1 Indonesia itu mahu mendapatkan khidmat Saddil sekiranya dia meninggalkan Sabah FC.
Jika berjaya dimeterai, perpindahan itu bakal menyaksikan pemain berusia 26 tahun akan berada di bawah kendalian Bojan Hodak yang berpengalaman dalam Liga Super.
Meskipun kedua-duanya tidak pernah bekerjasama, persefahaman pasti mudah terjalin kerana jurulatih kelahiran Croatia itu pasti sudah mengetahui kelemahan dan kelebihan Saddil.

Gabungan Bojan Hodak dan Saddil di Persib Bandung pasti menarik untuk disaksikan. — Agensi
Selain mahu mendapatkan tonggak skuad Sang Badak itu, Persib Bandung juga dilaporkan berminat untuk menandatangani nama-nama besar yang beraksi di Indonesia seperti Rizky Ridho dan Alfendra Dewangga.
Jika semua pemain disasarkan itu dapat dibawa masuk, skuad Pangeran Biru pasti mampu beraksi lebih cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Untuk rekod, Saddil sebelum ini pernah beraksi di negara kelahirannya bersama Persela Lamongan dan Bhayangkara, namun tempoh dihabiskan di sana kurang memberikan impak.
Ini kerana keputusannya menyertai Sabah FC membawa perubahan besar kerana selama empat musim di Borneo tanah air, dia merekodkan 22 gol dan 29 bantuan jaringan dalam 86 penampilan.
Meskipun tidak pernah membantu pasukan tersebut menjulang sebarang gelaran, kehadirannya membantu skuad Sang Badak lebih digeruni selain berjaya membawa mereka bersaing dalam Piala AFC 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
