Bek JDT, winger Sabah jadi sasaran Persib Bandung


  • Podium
  • Selasa, 15 Apr 2025

Kontrak Saddil yang akan tamat pada penghujung Mei ini membuka pintu kepada pasukan lain untuk menandatanganinya. — Facebook/SabahFC

TEKA-TEKI mengenai masa depan penyerang sayap Sabah FC, Saddil Ramdani masih belum menemui jawapan tepat dengan pelbagai kelab domestik mahupun luar negara dikaitkan dengan pemain berkenaan.

Pada Selasa, penyokong bola sepak Sabah semakin tidak keruan selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir memberi bayangan awal tentang kontrak masa depan Saddil bersama The Rhinos.

"Selamat jalan dan semoga terus sukses kariernya. Once a Rhino always a Rhino," tulis Marzuki menerusi perkongsiannya di Insta Story peribadinya pada Isnin.

BACA LAGI: Sang Kenari masih mampu hentikan mimpi ngeri di sebalik misi getir Sabah FC

BACA LAGI: 'Jeneral' Sabah FC puji Arif Aiman konsisten capai perkara sukar dalam bola sepak

Kontrak Saddil yang akan tamat pada penghujung Mei ini membuka pintu kepada pasukan lain untuk menandatangani pemain berusia 26 tahun itu termasuk kelab gergasi Indonesia iaitu Persib Bandung.

Memetik laporan media Indonesia, Tribune News, memaklumkan bahawa bekas pemain kebangsaan Indonesia itu dikhabarkan akan menyertai pendahulu Liga Indonesia itu bagi membantu bahagian serangan skuad bimbingan Bojan Hodak pada musim depan.

Selain Saddil, juara Liga 1 Indonesia itu juga berhasrat untuk menggunakan khidmat pemain pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Jordi Amat sekiranya kontrak bek berkenaan tidak disambung.

Persib Bandung kini berada pada kedudukan pertama Liga 1 Indonesia. 

"Persib Bandung turut dikaitkan dengan pemain pasukan kebangsaan Indonesia yang beraksi dalam Liga Malaysia. Kerana Persib Bandung memburu pemain baharu adalah sebagai satu bentuk penjanaan semula skuad.

"Memandangkan banyak kontrak pemain Persib Bandung akan tamat tidak lama lagi. Pemain yang termasuk dalam senarai beli-belah Persib Bandung termasuk Rizky Ridho, Alfeandra Dewangga dan Saddil Ramdani.

"Selain ketiga-tiga mereka, terdapat seorang pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim iaitu Jordi Amat yang turut dikaitkan dengan Persib Bandung," memetik laporan dari media Indonesia tersebut.

Selain Persib, Bali United juga dikhabarkan mahu menyambar Amat. — Facebook/JDT

Meskipun khabar angin mengenai dua pemain itu semakin rancak diborakkan penyokong Indonesia, masih belum ada kenyataan rasmi daripada Sabah dan JDT mengenai destinasi Saddil mahupun Amat.

Untuk rekod, selama empat musim bersama The Rhinos, antara pencapaian terbaik Saddil bersama Sabah FC adalah ketika membantu pasukan untuk melangkah ke pentas separuh Piala AFC 2023.

Manakala, Amat pula sudah menikmati pelbagai kemenangan bersama JDT sejak pemain warisan Indonesia-Sepanyol itu tiba pada 2022. Musim ini, Amat merekodkan 25 aksi bersama JDT termasuk 15 perlawanan Liga Super dan empat aksi Liga Juara-Juara Asia Elit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram