[VIDEO] 'Penang kilang Puskas', jaringan memukau keeper muda Harimau Kumbang imbau kenangan gol Faiz Subri


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Izzul Azry (hitam) melakukan sepakan mengelirukan sehingga bola melantun ke dalam gawang skuad muda Sri Pahang. — Facebook/Penang FC

MEMORI ditinggalkan bekas jeneral tengah Penang FA, Faiz Subri sememangnya sukar dilupakan apabila dia menjadi pemain Asia pertama meraih Anugerah Puskas.

Pencapaian yang direkodkan pada 2016 itu diraih selepas dia mencetak gol menerusi sepakan percuma mengelirukan ketika berdepan Pahang FA dalam aksi Liga Super di laman sendiri.

Meskipun dia gagal melonjak selepas kejayaan mengagumkan itu, peminat bola sepak masih mengingati namanya meskipun dia kini tidak lagi berstatus pemain profesional.

BACA LAGI: 'Jangan terlalu awal kritik Penang Black Panthers, berilah peluang pemain muda'

BACA LAGI: Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang

Namun, baru-baru ini, nama Faiz Subri sekali lagi disebut-sebut selepas satu lagi jaringan cukup menarik dihasilkan ketika aksi Piala MFL melibatkan kelab Utara tanah air berkenaan.

Gol yang dimaksudkan adalah ketika penjaga gawang Penang FC II, Izzul Azry Abu Mansor mencetak jaringan mengagumkan dari dalam kotak penalti sendiri ketika cuba menghantar bola kepada rakan sepasukan.

Jaringan tersebut terhasil semasa Penang FC II berdepan pasukan muda Sri Pahang FC di Stadium MP Temerloh, Pahang pada Rabu yang memberi kelebihan dua gol buat pasukan pelawat.

Ia kemudian dikongsikan di laman media sosial kelab Utara berkenaan dengan rata-rata penyokong beranggapan gol itu sesuai dianugerahkan sebagai pemenang Anugerah Puskas tahun ini.

"Wow, gol setaraf Anugerah Puskas ketika berdepan Pahang sekali lagi," kata Putra Zulaked.

"Penang memang akademi gol bertaraf Puskas," kata Nurazhar Mohd Zin.

"Dulu Faiz Subri pun menang anugerah itu ketika berdepan Pahang, ada kemungkinan ni nampaknya," kata Ibrahim Zamri.

Meskipun perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 2-2, jaringan Izzul Azry itu sudah tentu sukar dilupakan dengan penyokong berharap penjaga gol berkenaan diserap ke dalam skuad utama.

Posisi itu kini diisi Sikh Izhan Nazrel yang dipinjamkan dari Selangor FC atau Shafiq Afifi dengan penjaga gawang berkenaan pernah diberi peluang beberapa kali musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram