
KELAB elit tanah air, Johor Daul Ta'zim (JDT) sedia memberi tentangan sengit kepada pasukan lain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas membawa masuk tiga pemain baharu dari Sepanyol.
Setakat pengumuman yang dikeluarkan pada Isnin, Harimau Selatan mengesahkan kehadiran bek tengah, Alvaro Gonzalez; penyerang sayap kiri, Jonathan Viera dan Roque Mesa beraksi di posisi tengah.
Tiga pemain berpengalaman di saingan Eropah berkenaan difahamkan dimasukkan khusus untuk membantu skuad Harimau Selatan melepasi pusingan kalah mati ACLE dan bahkan lebih daripada itu.
BACA LAGI: Satu-satunya kelab calar rekod bersih JDT, PDRM idam 'gari' Harimau Selatan di SSI
BACA LAGI: 'JDT rekrut pemain tua, bukan rugi tapi pelaburan'
Sedikit info mengenai pemain baharu JDT, Viera yang bakal membantu bahagian serangan JDT berpengalaman beraksi di Sepanyol bersama UD Las Palmas, Valencia CF dan Rayo Vallecano sebelum beraksi di Asia bersama Beijing Guoan pada 2018.
Manakala, Mesa yang kini berusia 35 tahun pula pernah bermain di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Swansea City ketika musim 2017/2018. Mesa dibawa masuk kerana keupayaan hantaran yang cemerlang dan ketenangannya ketika mengawal bola.
Tidak memandang enteng bahagian pertahanan, khidmat Alvaro Gonzalez yang akan beraksi sebagai 'kereta kebal' baharu mereka merupakan rakan karib Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Untuk rekod, bekas pemain Sepanyol bawah 21 tahun itu tiba ke JDT selepas dilepaskan oleh kelab Arab Saudi, Al-Qadsia dan miliki pengalaman luas bermain di Liga Sepanyol dan Perancis bersama pasukan ternama.
Sekalipun ada yang mengatakan kehadiran tiga pemain ini untuk projek jangka masa pendek namun jika prestasi mereka melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan JDT, tidak mustahil khidmat mereka akan dipanjangkan.
Jika benar situasi itu berlaku, nasib beberapa pemain sedia ada JDT mula terancam dan salah satu tonggak yang dikhuatiri penyokong adalah Jordi Amat memandangkan kontrak bek tengah itu akan tamat pada Mei 2025.
Meskipun Jordi menang dari segi usia namun pengalaman yang dimiliki Gonzalez dan jika dia berhasil menambat hati JDT di saingan ACLE, sudah tentu nasib bek tengah Indonesia berusia 32 tahun itu berada dalam bahaya.
Oleh itu, sudah ada penyokong khususnya peminat bola sepak Indonesia mencadangkan agar Jordi berhijrah ke saingan Liga Thailand atau Liga 1 Indonesia untuk mendapatkan peluang lain sebelum prestasinya makin merudum.
Jordi tiba ke saingan Liga Malaysia pada 2022. — Facebook/JDT
"Kontrak Jordi akan tamat musim ini bersama JDT. Peminat Jordi berharap dia akan direkrut dalam liga Thailand, jika tiada tawaran untuk kembali ke liga Indonesia. Apa yang penting, dia bermain penuh kerana Jordi banyak beraksi sebagai pemain simpanan.
"JDT setiap tahun membawa masuk pemain import yang bagus, lagipun Rizky Ridho yang bermain di Liga 1 juga bagus dalam pasukan kebangsaan jadi tidak ada salahnya untuk bermain dalam negara," kata penyokong Indonesia, Anxious.
Pada musim ini, Jordi banyak diturunkan sebagai pemain simpanan berikutan lambakan pemain lain. Dia hanya merekodkan 19 aksi bersama JDT termasuk 12 perlawanan Liga Super dan satu aksi ACLE. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram