[VIDEO] Garnacho julang Anugerah Puskas 2024, ikut jejak langkah Cristiano Ronaldo 15 tahun lalu


  • Podium
  • Rabu, 18 Dis 2024

Jaringan akrobatik yang dicetak Garnacho ketika pasukannya berdepan Everton sememangnya layak diberikan Anugerah Puskas. — Agensi

PENYERANG sayap Manchester United, Alejandro Garnacho menutup kalendar tahun ini dengan langkah kanan apabila dinobatkan pemenang Anugerah Puskas 2024.

Gelaran tersebut diberikan selepas panel juri mengangkat jaringannya ketika berdepan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai gol terbaik sepanjang 2024.

Percubaan akrobatik itu jelas menarik melihat kepada kebolehannya untuk menampan hantaran daripada Diogo Dalot untuk menewaskan penjaga gol lawan, Jordan Pickford.

BACA LAGI: Garnacho, abang didakwa jadi dalang bocorkan maklumat kesebelasan utama Man United

BACA LAGI: Sehari lepas kena 'sekolah', Garnacho balas dendam terhadap fans Man United

Jaringan berkenaan jelas memukau panel juri yang mengangkatnya sebagai gol terbaik mengatasi beberapa calon lain, termasuk pemain West Ham United, Mohammed Kudus serta bintang Inter Milan, Federico Dimarco.

Lebih membanggakan lagi, Garnacho berjaya mengikuti jejak langkah idolanya, Cristiano Ronaldo yang turut merangkul kejayaan sama 15 tahun lalu, iaitu pada edisi pertama penganugerahannya.

Pada musim tersebut, legenda bola sepak antarabangsa tersebut meledak jaringan jarak jauh ketika berdepan Porto FC dalam kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang menyaksikannya meraih undian majoriti.

Sejak itu, tiada pemain The Red Devils menerima mahupun tercalon dalam anugerah berkenaan meskipun beberapa pemain EPL lain pernah diangkat sebagai pemenang, termasuk Mohamed Salah dan Olivier Giroud.

unnamed

Garnacho (kanan) sememangnya mengangkat Cristiano Ronaldo sebagai idolanya. — Agensi

Oleh itu, pemain sayap Manchester United berkenaan pasti berasa bangga atas kejayaan itu memandangkan dia sememangnya mengangkat kapten Al-Nassr berkenaan sebagai idolanya dalam dunia bola sepak.

Malah, Garnacho sudah tentu gembira atas pencapaian diraihnya tersebut memandangkan kariernya masih cerah melihat kepada usianya yang baru sahaja mencecah 20 tahun.

Tidak cukup dengan itu, koleksi kejuaraannya juga boleh dikatakan memuaskan kerana setakat ini, dia sudah menjuarai Piala FA dan Piala EFL bersama Manchester United serta menjulang Copa America 2024.

Dari sudut peribadi pula, bekas pemain Atletico Madrid itu juga tidak kurang hebatnya dengan Anugerah Gol Terbaik EPL 2023/24 turut menjadi miliknya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram