
TERENGGANU Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) terus mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kerjasama di peringkat antarabangsa apabila mengadakan pertemuan rasmi bersama pengurusan Persija Jakarta pada Selasa lalu di Jakarta, Indonesia.
Delegasi TFCSB diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai bersama Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan Mohd Zain, manakala kelab dari Indonesia itu diwakili Presiden, M. Prapanca dan Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas.
Pertemuan dua hala itu memberi fokus kepada pelbagai aspek pembangunan bola sepak termasuk pembangunan bakat muda, pertukaran kepakaran dalam bidang kejurulatihan, penganjuran aksi persahabatan antarabangsa serta penerokaan peluang komersial yang berpotensi untuk dimanfaatkan oleh kedua-dua kelab.
BACA LAGI: Terengganu FC kaku seperti ternampak hantu hingga bolos lima kali
BACA LAGI: Impak awal CEO baharu, TFC pastinya digeruni pada masa depan
Melihat kepada jalinan kerjasama yang dilakukan dua kelab tersebut, penyokong Terengganu menyimpan hasrat untuk melihat pertukaran pemain berlaku antara skuad Sang Penyu dan Persija Jakarta.
Pertukaran pemain antara kedua-dua kelab berkenaan satu perkara menguntungkan jika diteliti susulan Sang Penyu dan Persija masing-masing mempunyai tonggak berkualiti pada musim 2025/2026 ini.
1) Diego Landis > Rizky Ridho
Landis dicadangkan ke Persija dan bertukar posisi dengan Rizky.
Nama pertama pemain skuad Macan Kemayoran yang terlintas dalam cadangan penyokong Sang Penyu ialah pertukaran bek tengah iaitu Rizky Ridho daripada Persija Jakarta dan pertahanan Terengganu, Diego Landis.
Landis, bek tengah dari Brazil dikenali dengan kelebihan fizikal dan pengalaman beraksi di Asia Tenggara seperti bersama TFC musim ini dan Liga Thailand menjadikannya aset berguna buat Persija yang memerlukan ketenangan dan kekuatan di benteng pertahanan.
Sementara itu, Rizky yang baru berusia 23 tahun puka memiliki kepantasan serta kematangan taktikal yang boleh memberi nafas baharu kepada Terengganu terutama dalam aksi berintensiti tinggi.
Pertukaran itu dilihat memberi manfaat kepada kedua-dua pasukan dari segi teknikal dan pembangunan jangka panjang denngan TFC bakal mendapat seorang pemain muda berpotensi besar, manakala Persija akan memperolehi bek berpengalaman.
Kelebihan lain Terengganu mendapatkan Rizky adalah dapat menarik penyokong Indonesia untuk memberi sokongan kepada Sang Penyu susulan bek tengah skuad Sang Garuda itu mempunyai aura yang menarik untuk ditonton.
2) Akhyar Rashid > Maxwell
Akhyar dan Maxwell kedua-duanya akan memberi manfaat untuk bahagian serangan TFC dan Persija.
Satu lagi pertukaran situasi menang-menang yang boleh berlaku antara kedua-dua kelab ialah melibatkan penyerang sayap kiri Terengganu, Akhyar Rashid dan pemain Persija di posisi sama iaitu Maxwell.
Akhyar yang menyertai TFC secara tetap pada awal musim ini sudah mencatat dua gol dan dua bantuan jaringan sepanjang kempen 2025/2026. Kepantasan dan kebolehannya menembusi pertahanan lawan menjadikan beliau antara pemain sayap yang berbahaya dalam Liga Super.
Sekiranya cadangan pertukaran ini direalisasikan, pemain berusia 26 tahun itu berpeluang membuka lembaran baharu dalam kariernya di Liga 1 Indonesia sambil membawa pengalaman antarabangsa yang dimilikinya.
Sementara itu, Maxwell yang pertama kali bermain di Asia Tenggara pada tahun ini tidak kekok menyesuaikan diri apabila dia tampil prolifik bersama Persija Jakarta dengan rekod empat gol setakat lima aksi Liga 1.
Pemain sayap kiri itu dikenali dengan rembatan kencang dan ketajaman penyudah yang konsisten, faktor yang dilihat sesuai untuk memperkuat jentera serangan Terengganu yang memerlukan sentuhan lebih klinikal di bahagian sayap.
3) Rahadiazli > Irham Nadzhofa
Dua penjaga gol muda, Rahadi dan Irham.
Pertukaran penjaga gol melibatkan Rahadiazli Rahalim dan Irham Nadzhofa juga boleh dicadangkan susulan keperluan kedua-dua pasukan untuk memberi peluang baharu kepada pemain masing-masing demi perkembangan karier dan kestabilan pasukan.
Rahadiazli atau lebih mesra dengan panggilan Abey sebelum ini sering menjadi pilihan utama Terengganu tetapi, kini semakin jarang diturunkan selepas beberapa kesilapan kecil menjejaskan keyakinannya.
Perpindahan ke Persija Jakarta dilihat sebagai peluang terbaik untuk penjaga gol berusia 23 tahun itu memulihkan prestasi dan mendapatkan semula minit permainan dalam persekitaran baharu yang mampu menyuntik semangatnya.
Sebagai pertukaran, kelab berpangkalan di Pantai Timur Malaysia berkenaan berpotensi mendapatkan khidmat Irham Nadzhofa, penjaga gol muda yang lahir daripada akademi Persija.
Walaupun masih hijau di pentas senior, Irham memiliki potensi besar untuk dibangunkan sama ada melalui saingan Piala Belia atau dengan diberi peluang beraksi dalam kejohanan seperti Piala Malaysia dan Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram