MUSIM 2025/26 sepatutnya menjadi titik kebangkitan buat Terengganu FC yang sudah mengharungi sebuah fasa mengecewakan sejak 2023, iaitu pasca kehilangan Nafuzi Zain.
Sepanjang jendela perpindahan, penyokong dihidangkan dengan cita-cita besar pihak pengurusan yang membawa masuk Yann Mabella, Gabriel Silva dan bekas import Perak, Careca yang masing-masing memiliki kualiti tersendiri.
Keputusan mengekalkan Badrul Afzan Razali juga dianggap pendekatan berani kerana kerapnya melakukan perubahan terhadap barisan kejurulatihan menyebabkan sukarnya mencari kestabilan.
BACA LAGI: Berbanding 'pecah tabung' upah KPG, Terengganu patut jadikan OKS pilihan pertama
BACA LAGI: Kempunan Piala FA, Terengganu FC masih calon terbaik hentikan rentetan kemenangan JDT

Penyokong mahu memahami sasaran dan hala tujuh skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Tetapi, selepas permulaan yang agak baik, skuad Sang Penyu mula goyah dan hilang dalam bayang-bayang sendiri dengan setiap kemenangan gagal menghadirkan keceriaan.
Kesannya, kami sebagai penyokong juga semakin berat hati untuk hadir ke stadium untuk memberi sokongan kerana masing-masing tidak mahu tenaga dan wang ringgit dilaburkan hanya dibazirkan.
Malah, perasaan ini juga kami yakin turut dikongsikan kumpulan Ultras Tranung yang dahulu berjanji untuk memberi sokongan, tetapi kehampaan saban tahun melunturkan kecintaan terhadap Sang Penyu.
Selepas mengadakan tindakan memboikot ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari, mereka sekali lagi hadir melontar soalan, apakah sebenarnya hala tuju pihak pengurusan?
"Terengganu FC nak apa musim ni sebenornye? Piala FA sudah tersingkir. Dalam liga pula, macam yo-yo. Sekejap menang, sekejap kalah. Kalau menang sekali pun, tak dok jaminan momentum tu boleh kekal kerana konsistensi sebagai benda asas itu tiada.
"Benda ini bukan baru hari ini kami sebut. Sejak beberapa musim lepas lagi kami suarakan, konsisten! Jadi, berbalik kepada persoalan asal, apa yang Terengganu FC nak capai pada musim ni?" soal mereka di Facebook.
Kita boleh lihat bagaimana Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab mula mengorak langkah dengan cuba mencari jalan mengembalikan Terengganu FC ke landasan.
Tetapi, bagaimana pula dengan individu lain dalam badan pengurusan, adakah hanya akan menunggu hasil tanpa mahu terlibat dalam setiap urusan?

Peranan besar bakal dipikul Sheikh Farouk untuk meletakkan skuad Sang Penyu ke landasan. — Facebook/Terengganu FC
Jika begitulah, tidak mustahil penyokong akan terus disajikan kekecewaan walaupun sudah bertahun-tahun meminta penjelasan mengenai apakah hala tuju Terengganu FC yang disayangi ini.
Pelantikan pengarah teknikal (TD) diharapkan dapat mengubah nasib pasukan kesayangan ini selagi mana individu dipilih memahami kehendak kelab.
"TD-lah orangnya, dialah sepatutnya jadi otak utama dan bentang blueprint dari akar umbi. Semua ikut satu hala tuju. Apabila pemain naik ke pasukan utama, dia sudah siap dengan DNA pasukan," kata Ultras Tranung lagi.
Desakan ini diharap diterima hingga ke 'telinga' pengurusan yang tidak boleh terus memekakkan telinga sekiranya mahu menyaksikan Terengganu FC kembali ke hati penyokong. — Majoriti
Malik Ahmad merupakan penyokong setia Terengganu FC yang berasal dari Kuala Nerus, Terengganu.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
