Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT


  • Podium
  • Khamis, 06 Nov 2025

Skuad The Cats mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke separuh akhir Piala FA buat julung kalinya. — Facebook Kuching City

KELAB underdog, Kuching City FC mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke separuh akhir Piala FA buat julung kalinya selepas menyingkirkan Terengganu FC dengan agregat 5-3.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu mara ke kelompok empat terbaik hasil kemenangan besar 4-1 pada aksi pertama suku akhir di tempat lawan, meskipun tewas 1-2 pada perlawanan timbal balik di Stadium Negeri, Sarawak pada 29 Oktober lalu.

Namun, di pentas separuh akhir kali ini, Kuching City bakal berdepan cabaran paling getir dalam sejarah penubuhan kelab apabila dijadual menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Negeri Sarawak pada Sabtu (8 November).

BACA LAGI: Akad nikah, 'final exam' punca 2 bintang Liga Super terpaksa ke venue naik helikopter

BACA LAGI: Tahukah anda? Penentuan penalti selepas seri, munculnya Telekom Melaka-TNB Kelantan warna-warni landskap bola sepak domestik musim 1999

Pertemuan itu bukan sekadar ujian taktikal, sebaliknya menjadi ukuran sebenar sejauh mana skuad bimbingan Aidil Sharin bersedia menyaingi gergasi bola sepak tanah air itu.

Aidil yang berpengalaman luas termasuk membawa Kedah menjulang Piala FA 2019, pastinya sedar hanya perancangan rapi serta keberanian tinggi mampu memberi saingan kepada skuad Harimau Selatan.

1. Turunkan barisan terbaik

(Dari kiri) Wanja dan Ramadhan mempamerkan prestasi yang tebaik dan merupakan antara pemain harapan penyokong bagi perlawanan menentang JDT. — Facebook Kuching City

Dalam perlawanan sebesar ini, Aidil perlu mempertaruhkan kesebelasan terbaik tanpa kompromi.

Setiap posisi wajar diisi pemain utama seperti Ronald Ngah Wanja, Jordan Mintah, Ramadhan Saifullah, Danial Asri dan Petrus Shitembi yang mampu beraksi dengan disiplin serta intensiti tinggi.

Ini juga peluang buat Gabriel Nistelrooy membuktikan keupayaannya sebagai penyerang jika diberikan kepercayaan beraksi.

Tiada ruang untuk kesilapan mudah, terutama ketika menentang corak permainan pantas serta serangan bertali arus JDT yang terkenal dengan kemampuan menukar tempo dalam sekelip mata.

Kuching City perlu menampilkan kombinasi pemain berpengalaman dan tenaga muda agar mampu mengekalkan daya saing sepanjang 90 minit permainan.

2. Kekalkan tekanan, jangan terlalu hormati lawan

Aidil perlu bijak mengatur serangan menentang skuad Harimau Selatan dan mempertaruhkan kesebelasan terbaik tanpa kompromi.— Facebook Kuching City

Faktor psikologi bakal memainkan peranan besar dalam aksi separuh akhir ini. Terlalu menghormati lawan hanya akan memerangkap sendiri.

Kuching City perlu berani menekan sejak awal, mengganggu tempo permainan JDT dan tidak memberi ruang kepada tonggak seperti Arif Aiman Hanapi serta Bergson da Silva menguasai bola.

Skuad The Cats boleh mempertimbangkan pendekatan menyerang secara berkala atau mengekalkan blok pertahanan sederhana, bergantung kepada situasi perlawanan.

Apa yang penting, setiap pemain mesti percaya mereka mampu menyaingi pasukan terbaik negara.

Tambahan pula, beberapa pemain seperti Ramadhan Saifullah, Danial Amier dan Gabriel Nistelrooy pernah menyarung jersi JDT kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk membaca corak permainan lawan.

3. Elak kekalahan besar

Juara bertahan, JDT mudah melangkah ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Penang FC 3-0 dalam aksi timbal balik suku akhir kedua. — Facebook Johor Southern Tigers

Secara realistik, menentang JDT bukan tugas mudah. Namun, Kuching City perlu memastikan mereka tidak tewas dengan jaringan besar di laman sendiri.

Setiap jaringan atau keputusan kecil bakal memberi impak besar menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim.

Jika berjaya mengekang asakan lawan dan menutup ruang serangan dengan baik, keputusan seri atau kekalahan tipis tetap dianggap hasil positif untuk dibawa ke perlawanan kedua.

Apa pun keputusannya, pertemuan menentang JDT ini akan tercatat sebagai aksi terbesar dalam sejarah Kuching City bukan sekadar peluang mencipta kejutan, tetapi juga pentas membina keyakinan bahawa mereka kini layak berdiri sebaris dengan pasukan elit Liga Malaysia.

Akhir sekali, jika tidak mampu menang, biarlah kalah dengan bermaruah bukan sebagai pasukan belasahan, tetapi sebagai pencabar yang berani melawan gergasi bola sepak negara hingga ke wisel penamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram