KEMENANGAN 2-1 ke atas Kuching City FC pada aksi timbal balik suku akhir di Stadium Negeri, Kuching pada Selasa tidak cukup untuk membantu Terengganu FC (TFC) mara ke separuh akhir Piala FA 2025.
Ini kerana keputusan agregat 5-3 memihak kepada The Cats, sekali gus menghadiahkan pasukan berkenaan tiket ke separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah kelab berkenaan.
Meskipun anak buah Badrul Afzan Razali terpaksa akur dengan penyingkiran tersebut, fokus kini beralih sepenuhnya kepada saingan Liga Super, dengan Terengganu bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat.
BACA LAGI: Masih tak rasa selamat, pertahanan Kuching City risau kelincahan penyerang TFC
BACA LAGI: Terengganu panggil Badrul Afzan, akan buat rombakan pemain
Perlawanan tersebut dijangka menjadi ujian getir buat Sang Penyu, memandangkan Harimau Selatan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan tanpa seri sepanjang musim ini.
Dalam dunia bola sepak, tiada yang mustahil, malah sejarah pernah berpihak kepada Terengganu apabila mereka berjaya mengejutkan JDT dengan kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Liga Super 2021, hasil jaringan tunggal Hakimi Abdullah.
Menjelang pertemuan menentang JDT kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga faktor utama mengapa skuad Sang Penyu dilihat sebagai calon terbaik untuk menghentikan rentetan kemenangan Harimau Selatan.
1) Jadual sibuk JDT

Tangkap layar jadual JDT yang bakal bertemu Shanghai Shenhua selepas ini.
Salah satu kelemahan yang boleh dimanfaatkan oleh skuad Terengganu FC menjelang pertemuan menentang JDT adalah jadual padat yang sedang dihadapi skuad Harimau Selatan.
Selepas aksi Liga Super ini, JDT dijadualkan menentang Shanghai Shenhua bagi saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), perlawanan penting yang sudah pasti menjadi fokus utama jurulatih Xisco Muñoz dan pasukannya.
Dengan tumpuan tertumpu kepada saingan peringkat Asia, Munoz dijangka akan menyimpan beberapa tonggak utama bagi memastikan kecergasan pemain terbaik mereka menjelang aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Sekiranya pengendali JDT itu mengambil pendekatan menurunkan skuad kedua, ia membuka peluang besar buat Badrul Afzan untuk menurunkan barisan terbaiknya dan mengintai tiga mata penuh.
Dengan jadual padat JDT yang merangkumi aksi domestik dan antarabangsa, TFC perlu memanfaatkan kelebihan rehat serta tenaga segar pemain mereka untuk menekan lawan sejak awal perlawanan.
2) Beraksi di Terengganu

SSMZA antara gelanggang yang digeruni musim ini. — Facebook/TFC
Bermain di laman sendiri sering menjadi kelebihan buat mana-mana pasukan untuk meraih tiga mata berharga, dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak sememangnya dianggap antara kubu paling sukar ditembusi dalam saingan Liga Super.
Musim ini, TFC membuktikan keampuhan mereka di hadapan penyokong sendiri apabila hanya sekali diikat lawan iaitu keputusan seri 2-2 menentang PDRM FC, manakala baki tiga perlawanan lain di SSMZA berakhir dengan kemenangan meyakinkan.
Faktor sokongan padu ribuan penyokong Sang Penyu yang membanjiri stadium pada setiap perlawanan turut memainkan peranan besar dalam membakar semangat pemain untuk tampil lebih agresif dan berdisiplin.
Beraksi di laman sendiri juga memberi kelebihan susulan pemain sudah terbiasa dengan keadaan padang dan suasana persekitaran stadium. Semua itu menjadi kekuatan tambahan yang sering menjadikan SSMZA lokasi yang menakutkan buat pasukan pelawat.
Dengan rekod cemerlang di Gong Badak serta semangat luar biasa penyokong tempatan, TFC dilihat berpeluang besar untuk menggunakan kelebihan ini sebagai motivasi menewaskan JDT, sekali gus membuktikan bahawa kubu mereka masih utuh dan digeruni.
3) Mabella terus tajam di hadapan pintu gol

Mabella (kanan) penyerang utama TFC. — Facebook/TFC
Terengganu FC musim ini boleh dikatakan cukup bertuah selepas berjaya membawa masuk Yann Mabella sebagai penggempur utama bagi menggantikan Ivan Mamut yang sering bergelut dengan masalah kecederaan.
Pemain kelahiran Congo berkenaan segera membuktikan dirinya sebagai pembelian berbaloi apabila menampilkan aksi konsisten dan tajam di hadapan pintu gol untuk Sang Penyu.
Setakat ini, Mabella sudah meledak lapan gol serta dua bantuan jaringan dalam 10 penampilan dan menjadikan namanya antara penjaring paling produktif dalam Liga Super.
Keupayaan Mabella membaca permainan dengan baik dan menyempurnakan peluang sekecil mana pun menjadikan dia senjata utama Sang Penyu, terutama apabila beraksi menentang pasukan gergasi seperti JDT.
Sekiranya Mabella mengekalkan sentuhan berbisa yang sama, tidak mustahil Terengganu mampu mencipta kejutan menewaskan JDT, apatah lagi dengan sokongan padu penyokong di SSMZA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
