Sabah semakin meruncing, 3 calon pengganti ideal Gabriel Peres


  • Podium
  • Rabu, 12 Nov 2025

Jodoh Gabriel Peres dengan Sabah FC dilaporkan bakal berakhir. — Instagram/gabrieelwotter

‘GHAIB’ tanpa jejak sejak September lepas menimbulkan spekulasi mengenai masa depan bek kental Sabah FC, Gabriel Peres bersama kelab berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan.

Spekulasi tersebut tercetus selepas satu hantaran di laman Instagram @palatao_bola mendedahkan bahawa pemain yang lebih mesra disapa Gabi itu telah dilepaskan oleh kelab berpangkalan di Borneo itu.

Gosip mengenai pemergian pertahanan tinggi lampai berusia 1.97 meter itu semakin kuat apabila kali terakhir dia beraksi adalah ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Bunga Raya dalam saingan pusingan 16 Piala FA pada 17 Ogos 2025.

BACA LAGI: Gabriel Peres-Sabah FC berpisah, Sang Badak intai pengganti di benteng pertahanan

BACA LAGI: Sekali lagi diuji masalah kecederaan, Zii Jia terpaksa lupakan hasrat pertahan kejuaraan Terbuka Australia

Sejak perlawanan tersebut, pemain kelahiran Brazil berkenaan langsung tidak lagi disenaraikan dalam skuad kendalian Jean-Paul de Marigny.

Sebelum menghilang daripada radar pasukan, Gabi sempat meninggalkan impak besar apabila menjaringkan gol penyamaan penting ketika Sabah mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 pada aksi pembukaan Liga Super musim ini di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 13 Ogos lalu.

Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai status Gabriel, penyokong sudah mula memberi cadangan agar The Rhinos segera mencari penggantinya menjelang jendela perpindahan pada Januari nanti.

1) Pape Diakite

Diakite bersama Kedah FA pada musim ini. — Facebook/KedahFA

Persembahan mantap Pape Diakite bersama Kedah FA musim ini bukan sahaja membantu pasukannya memperkukuh benteng pertahanan, malah turut dilihat pemain sesuai untuk memperkuatkan pasukan Liga Super pada jendela perpindahan nanti.

Berketinggian 1.93 meter, pemain kelahiran Senegal itu menjadi nadi utama pertahanan Sang Kenari dengan kekuatan benteng Hijau Kuning banyak bergantung pada ketenangan dan ketegasan Diakite di posisi pertahanan tengah.

Prestasi cemerlangnya itu membuatkan namanya kini disebut-sebut sebagai calon ideal untuk kembali beraksi di Liga Super, dengan Sabah FC juga boleh mencuba nasib mendapatkan khidmatnya.

Bagi Diakite, kemungkinan kembali ke liga utama bukan sesuatu yang asing susulan berusia 31 tahun itu pernah menjadi tonggak utama Terengganu FC pada musim 2022, di mana beliau terkenal dengan disiplin bertahan yang tinggi dan kepimpinan di barisan belakang.

Sebelum beraksi di Malaysia, Diakite pernah berkelana di pelbagai kelab luar negara termasuk di Senegal, Slovakia, Belgium, Amerika Syarikat, Kanada dan Vietnam, menjadikannya antara pertahanan import paling berpengalaman di pentas bola sepak Asia Tenggara.

2) Adam Nor Azlin

Adam ketika bermain untuk Kuala Lumpur. — Facebook/KLCity

Adam Nor Azlin yang kini merupakan pemain pertahanan tengah Kuala Lumpur City FC (KL City) antara yang sesuai untuk berpindah ke Sabah jika The Rhinos kehilangan Gabriel.

Bek tengah berusia 29 tahun itu kini dianggap antara calon tempatan paling sesuai untuk memperkukuh benteng The Rhinos menjelang musim baharu, berdasarkan pengalaman luas serta kebolehannya membaca permainan dengan baik.

Adam sebelum ini merupakan pertahanan utama Sri Pahang FC selepas dia menjadi antara watak penting di bawah kendalian Fandi Ahmad dengan merekodkan 28 penampilan domestik serta menjaringkan tiga gol buat Tok Gajah musim lalu.

Namun, selepas Sri Pahang tidak lagi bersaing dalam saingan Liga Super, bekas tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan membuat keputusan berhijrah ke ibu kota bagi menyertai KL City FC.

Bagaimanapun, situasi di pasukan barunya agak berbeza apabila dia setakat ini hanya sempat diturunkan dalam tiga perlawanan Liga Super, menjadikannya pilihan kedua di benteng pertahanan.

3) Sunday Afolabi

Afolabi sesuai dibawa masuk Sabah FC untuk menggantikan Peres. — Facebook/PerakFC

Sunday Afolabi boleh kembali ke arena bola sepak dengan menyertai Sabah FC sebagai calon pengganti pertahanan import, Gabriel Peres, yang dikhabarkan meninggalkan The Rhinos.

Pemain tengah bertahan berusia 26 tahun itu sebelum ini menjadi tonggak utama Perak FC, muncul dalam 51 perlawanan domestik, mencetak satu gol dan dua bantuan jaringan, serta dikenali kerana keteguhan serta disiplin pertahanannya.

Selepas Perak FC tidak lagi menyertai Liga Super, ramai pemain TBG membawa haluan masing-masing, termasuk Afolabi yang kini dilaporkan menyertai pasukan Diamond Harbour dalam saingan Liga India sejak 25 Ogos lepas.

Bagaimanapun, pemain dari Nigeria itu masih belum merekodkan sebarang penampilan rasmi bersama kelab baharu, satu fakta yang mengejutkan memandangkan prestasinya yang konsisten ketika bersama Perak.

Dengan pengalaman luas di Liga Malaysia, Afolabi dilihat sebagai calon sesuai untuk mengisi kekosongan di benteng pertahanan Sabah FC, terutamanya selepas kehilangan Peres. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram