Xisco Munoz akui pemain JDT keletihan, lega bawa bekalan satu gol ke SSI


  • Podium
  • Isnin, 10 Nov 2025

Skuad Harimau Selatan membawa bekalan selesa satu gol menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook/JST

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui barisan pemainnya berdepan keletihan selepas melalui jadual perlawanan yang padat sepanjang Oktober.

Namun, jurulatih dari Sepanyol itu tetap berpuas hati apabila pasukannya berjaya membawa pulang bekalan satu gol penting dari bumi Borneo tersebut.

Dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak pada Ahad, skuad Harimau Selatan itu menunjukkan ketenangan dan disiplin permainan meskipun beraksi dalam keadaan fizikal yang agak terbeban. 

“Saya fikir para pemain sedikit penat selepas mengharungi banyak perlawanan pada Oktober kerana kita mempunyai banyak aksi yang perlu dilengkapkan.

BACA LAGI: Rayuan FAM ditolak FIFA tak lunturkan semangat Harimau Malaya

BACA LAGI: Faktor senioriti, beraksi luar negara belum tentu jamin spot Endrick Santos-Junior Eldstal

“Kita lihat mereka tetap mengekalkan intensiti pada beberapa detik penting permainan, dan itu perkara paling utama.

“Kita tahu perlawanan di sini (Stadium Negeri) tidak mudah dan hari ini juga cukup sukar. 

“Namun perkara paling penting ialah kita berjaya membawa kelebihan satu gol untuk dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” katanya.

Dalam aksi yang penuh dramatik itu, dua jaringan penyerang kelahiran Brazil, Bergson Da Silva memastikan kemenangan 2-1 berpihak kepada JDT.

Manakala, tuan rumah merapatkan jurang menerusi bekas pemain tengah Terengganu FC, Petrus Shitembi. 

Kelebihan tipis itu bakal menjadi modal penting buat JDT menjelang aksi timbal balik di SSI, hujung November nanti dalam misi mereka memburu tiket ke pentas final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram