Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup


  • Podium
  • Ahad, 09 Nov 2025

FAM sendiri pernah mengambil keputusan tegas terhadap pemain Liga Malaysia (Liga M) yang melanggar peraturan, sama ada akibat tindakan di dalam padang atau kesalahan di luar padang. 

KEPUTUSAN terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menimbulkan impak besar terhadap tujuh pemain warisan negara.

Mereka digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, meletakkan karier masing-masing dalam situasi yang mencabar dan tidak menentu. 

Tempoh penggantungan itu bukan sahaja menjejaskan peluang mereka untuk beraksi di peringkat liga atau antarabangsa, malah memberi kesan kepada reputasi dan potensi kerjaya masa depan.

BACA LAGI: Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT

BACA LAGI: Tahukah anda? Penentuan penalti selepas seri, munculnya Telekom Melaka-TNB Kelantan warna-warni landskap bola sepak domestik musim 1999

Empat daripada tujuh pemain yang digantung FIFA.— Agensi 

Jika melihat kepada sejarah bola sepak Malaysia, isu penggantungan pemain bukanlah perkara baharu.

Malah, FAM sendiri pernah mengambil keputusan tegas terhadap pemain Liga Malaysia (Liga M) yang melanggar peraturan, sama ada akibat tindakan di dalam padang atau kesalahan di luar padang. 

Jika diimbau kembali, terdapat dua momen penggantungan yang paling mendapat perhatian penyokong tanah air dan meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah bola sepak negara:

Legenda Sabah: Matlan Marjan

Matlan satu-satunya pemain Malysia yang pernah menjaringkan gol ketika menentang England. 

Matlan Marjan ialah pemain bola sepak Sabah yang mencipta nama di pentas antarabangsa apabila berjaya menjaringkan gol ke gawang England pada pada 1991. 

Malah jaringan Matlan itu juga masih lagi dianggap satu pencapaian yang jarang dilihat daripada pemain Malaysia sehingga kini. 

Penyerang berbisa tanah Borneo itu juga dianggap sebagai pencetus kebangkitan bola sepak Sang Badak sekali gus memberi inspirasi kepada pemain muda di Sabah. 

Namun hanya kerana nafsu tamak, bekas pemain kebangsaan itu disabitkan kesalahan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan pada tahun 1995.

Lebih perit lagi, dia juga dibuang daerah ke Semporna atas kesalahannya itu sekali gus menjejaskan karier profesionalnya. 

Setelah lebih dua dekad, pada 2017, Matlan menerima pengampunan daripada FAM. 

Kini, Matlan kembali aktif dalam dunia bola sepak, walaupun bukan lagi sebagai pemain profesional. 

Kisah Matlan menjadi pengajaran bahawa kejayaan di padang boleh terjejas oleh tindakan di luar padang.

Tanker Selangor FC: Yazan Al‑Arab

Yazan Al‑Arab terpalit kontrovesi menyepak dan meludah pengadil suku akhir kedua Piala Malaysia 2023. — Facebook Selangor FC

Yazan Al‑Arab merupakan pemain import yang beraksi sebagai bek tengah bersama Selangor FC. 

Pemain berasal dari Jordan itu terkenal dengan fizikal yang tegap dan permainan agresif di atas padang. 

Namun, insiden pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 ketika Selangor FC menentang Terengganu FC Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor mengubah perjalanan kariernya apabila dia menyepak dan meludah pengadil, menyebabkan kontraknya ditamatkan serta-merta oleh kelab. 

Yazan didapati bersalah atas Pertuduhan 1, melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana telah meluru ke arah pengadil perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil perlawanan.

Aoabila pengadil perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada pengadil perlawanan.

FAM kemudian menggantung Yazan daripada sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia. 

Malah atas tindakan Yazan itu, skuad Red Giants juga didenda RM13,000 dan diberikan amaran keras. 

Kini, Yazan meneruskan kerjaya profesionalnya di Liga Korea bersama FC Seoul, membuktikan bahawa walaupun menghadapi kontroversi, peluang untuk bangkit dan membina semula karier masih terbuka. 

Kedua-dua kisah itu memberi pengajaran bahawa selain bakat dan teknik, disiplin, profesionalisme, dan integriti menjadi faktor penting dalam membina kerjaya yang stabil dan panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram