PELBAGAI desakan dilontarkan terhadap pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali susulan penyingkiran pasukan itu dari Piala FA selain berada dalam prestasi tidak menentu di Liga Super.
Ini bukanlah kali pertama jurulatih berusia 48 tahun itu diberi tekanan oleh penyokong sendiri kerana ketika baru sahaja mengisi kekosongan ditinggalkan Tomislav Steinbruckner, dia sudah dikritik hebat.
Gaya permainan terlalu pasif, penggantian pemain terlalu lewat dan keputusan merunsingkan merupakan antara isu kerap dikaitkan dengan Badrul Afzan sehingga ramai tidak lagi berminat akan sentuhannya.
BACA LAGI: Situasi makin genting, Sabah perlu lakukan segalanya demi pikat semula Ong Kim Swee
BACA LAGI: OKS terbuka kembali ke Malaysia, Sabah-TFC mungkin pilihan tepat tapi ada syaratnya

Badrul Afzan (kanan) menggantikan Tomislav pada 2024 kerana prestasi tidak menentu skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Desakan itu turut disusuli dengan cadangan bahawa pihak pengurusan Terengganu FC perlu membawa masuk pengendali berpengalaman dan berkaliber dengan nama bekas pengendali negara, Kim Pan-gon antara yang dipetik.
Bagaimanapun, idea itu ditolak mentah-mentah kerana dia berpandangan situasi bola sepak tanah air ketika ini menyukarkan peluang untuknya kembali seperti mana dilaporkan Fina Nasrom.
Malah, sekali pun Pan-gon tertarik akan ura-ura berkenaan, bebanan besar akan dipikul Terengganu FC untuk menampung permintaan gajinya yang pasti mencecah puluhan ribu ringgit.
Ini kerana jurulatih berusia 56 tahun terbabit sudah terbukti di peringkat antarabangsa bersama Harimau Malaya di samping berjaya menjulang Liga Korea Selatan bersama Ulsan HD.

Kebolehan Pan-gon terbukti sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan.
Jadi, dalam mencari alternatif, skuad Sang Penyu boleh meletakkan bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam pelan jangka masa panjang.
Kredibiliti serta kebolehan jurulatih kelahiran Melaka itu tidak perlu diceritakan lagi kerana sepanjang tiga musim bersama skuad Sang Badak, dia berjaya membuat perubahan drastik.
Sebelum kehadirannya, kelab Borneo tanah air itu hanya dipandang sebagai pasukan belasahan, namun perubahan diterapkan menjadikan mereka pencabar utama.
Malah, pada musim penuh pertamanya, Kim Swee berjaya meletakkan Sabah FC di tangga ketiga Liga Super 2022, sekali gus menamatkan penantian hampir 20 tahun untuk ke pentas Asia.

Kim Swee sudah membuktikan kebolehannya bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Rekod pasukan tersebut dalam saingan Piala AFC pada musim berikutnya juga amat mencuri perhatian apabila mereka berjaya mara ke peringkat kalah mati sebelum disingkirkan wakil Australia, Macarthur FC.
Pencapaian sedemikian sudah cukup untuk menceritakan bagaimana Kim Swee sudah begitu layak untuk mengendalikan Terengganu FC yang kini terumbang-ambing di pentas domestik.
Tidak terhenti di situ, pengendali berusia 54 tahun berkenaan mempunyai satu lagi ciri yang diperlukan kelab Pantai Timur tersebut iaitu kebolehan mengasah bakat 'ubi muda'.
Umum mengetahui bahawa nama Kim Swee mula disebut-sebut selepas menghabiskan tempoh bertahun-tahun bersama pasukan pembangunan seperti Harimau Muda A dan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.

Ubaidullah merupakan antara bintang muda yang diberi kepercayaan dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Kebolehan itu diteruskan ketika dia mengendalikan Sabah FC apabila dia turut memberi kepercayaan kepada pemain muda seperti Azhad Harraz dan Ramzi Mustakim.
Pendekatan sedemikian amat diperlukan dalam Terengganu FC ketika ini yang kerap menurunkan 'ubi muda', termasuk Ubaidullah Shamsul Fazili dan Safwan Mazlan yang masing-masing merupakan tonggak pasukan.
Sentuhan diberikan Kim Swee boleh melonjakkan lagi potensi masing-masing yang pasti mahu menembusi tahap lebih tinggi walaupun masih awal dalam karier masing-masing.
Kebolehan mengasah bakat bintang muda serta karier yang terbukti dalam Liga Malaysia menjadikan Kim Swee calon terbaik untuk menggantikan Badrul Afzan.
Namun, keputusan akhir hanya terletak di bahu pihak pengurusan sama ada mahu memberi lebih masa kepada barisan kejurulatihan semasa atau mahu membuat perubahan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
