KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menaruhkan skuad terbaik menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada 18 November.
Ini dibuktikan menerusi senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan dengan nama-nama besar seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools serta Faisal Halim diberi kepercayaan.
Malah, kekuatan tersendiri turut kelihatan dalam senarai bersedia yang boleh mengisi kekosongan sekiranya terdapat mana-mana pemain mengalami kecederaan.
BACA LAGI: Ramai sesuai main di JDT terutama pemain Real Madrid, Barcelona — Munoz
BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

Skuad terbaik disenaraikan Cklamovski bagi aksi menentang Nepal. — Facebook/Malaysia NT
Keputusan itu menyampaikan mesej jelas daripada pengendali kelahiran Australia tersebut, iaitu mahu meraih tiga mata penuh bagi mengukuhkan lagi kedudukan di tangga teratas Kumpulan F.
Bagaimanapun, masih terdapat sedikit keluhan daripada peminat bola sepak tanah air yang tertanya mengenai ketiadaan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nacho Mendez.
Pemain berdarah kacukan Sepanyol itu difahamkan layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana tidak didaftarkan sebagai import buat pasukan Selatan tanah air berkenaan.
Semakan di laman sesawang transfermarkt turut mendapati bekas tonggak Sporting Gijon itu merupakan warganegara yang sekali gus membolehkannya beraksi buat skuad kebangsaan.
Jadi, dengan namanya tiada dalam senarai panggilan yang dikeluarkan pada Jumaat, persoalan mula timbul apabila semakin ramai tertanya-tanya mengenai statusnya.

Cklamovski pernah menyatakan isu kecergasan menghalang Nacho Mendez daripada beraksi dalam skuad kebangsaan. — Facebook/Malaysia NT
"Tak panggil Nacho Mendez ke? Kecergasan permainan sudah baik tu. Dia kan pemain warisan kelapan negara, sudah terima pasport tu. Datuknya lahir di Pulau Pinang," kata Khalil Jamian.
"Rasmi 27 senarai pemain yang dipanggil. Namun, tidak kelihatan Nacho Mendez di situ. Pemain warisan berbakat yang beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite. Mungkin khidmatnya masih lagi tidak diperlukan Cklamovki," kata Razif Ajib.
Pada panggilan untuk dua aksi persahabatan pada September lalu, tonggak JDT itu diketepikan dengan Cklamovski memberi alasan kecederaan menghalangnya daripada diturunkan.
Namun, isu kecergasan tidak boleh diberikan bagi panggilan kali ini kerana Nacho Mendez semakin kerap beraksi di peringkat kelab, termasuk di pentas Asia.
Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai statusnya sebagai pemain warisan seperti mana kes melibatkan tujuh yang terpalit dengan sknadal FIFA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
