Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah


  • Podium
  • Rabu, 22 Okt 2025

Skuad Harimau Selatan melakar kemenangan sulung dalam kempen ACLE musim ini selepas menewaskan wakil kelab China, Chengdu Rongcheng pada Selasa. — Facebook/JST

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan A, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) selepas menewaskan wakil China, Chengdu Rongcheng 2-0 di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Selasa.

Kemenangan penting itu disumbangkan menerusi jaringan Oscar Arribas seawal minit kelima dan satu lagi gol oleh Nacho Mendez pada minit ke-62, memastikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan.

Dengan keputusan itu, anak buah Xisco Munoz kini mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan dan menduduki tangga kelima kumpulan.

BACA LAGI: Misi hidup mati, Selangor boleh lupakan kempen ACL Two jika tewas di Indonesia

BACA LAGI: Terengganu jangan malu panggil semula Nafuzi atau Hai-O demi perbaiki musim hambar

Sebelum ini, JDT tewas 1-2 kepada Buriram United (16 September) dan seri 0-0 menentang Machida Zelvia (30 September).

Namun, kemenangan tersebut tidak terlepas daripada kontroversi apabila seorang peminat bola sepak dari Singapura, @sneakyshaunny di laman X, mendedahkan bahawa Chengdu Rongcheng sebenarnya telah merehatkan hampir semua pemain import dan tonggak utama mereka dalam aksi berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana Chengdu kini memberi keutamaan kepada perebutan kejuaraan Liga Super China (CSL) yang mana mereka hanya memerlukan dua mata lagi untuk menjuarai liga.

“Chengdu Rongcheng merehatkan hampir semua pemain import dan tonggak utama mereka, jelas menunjukkan fokus mereka adalah kejuaraan Liga Super China. Jika JDT kalah perlawanan ini, ia pasti jadi sesuatu yang memalukan,” katanya.

Berdasarkan senarai kesebelasan utama pemain sebelum perlawanan, Chengdu hanya dibarisi rata-rata pemain muda dengan tiada seorang pun penyerang tulen diletakkan.

Malah, import-import yang diletakkan di bangku simpanan seperti Felipe de Sousa dan Timo Letschert langsung tidak dimasukkan, yang menceritakan impian besar pasukan terbabit di peringkat domestik.

Untuk makluman, Chengdu ketika ini sedang bersaing rapat dengan pendahulu liga, Shanghai Port yang kini hanya dipisahkan dua mata.

Chengdu mengumpul 58 mata dan dijadual menentang Qingdao Youth Island pada 26 Oktober dalam aksi penentuan kejuaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram