KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan titah agar semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan dan keputusan pihak berkuasa berkaitan isu penggantungan tujuh pemain Harimau Muda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjalan dengan adil dan teratur.
Baginda bertitah, polemik yang melanda ketika ini seharusnya dijadikan pengajaran penting buat semua pihak dalam usaha memperbetulkan keadaan demi masa depan bola sepak negara.
BACA LAGI: Risau hantar ke CAS, FAM akan digantung — Bekas Setiausaha Agung AFF
BACA LAGI: 'Sebagai gentleman, kita akui sajalah', bekas SU Agung FAM kata lebih baik guna duit CAS bayar gaji pemain
"Saya ingat saya tak perlu komen di sini sebab ramai yang dah beri komen. To be fair, let the process take its course.
“Let the truth prevail. Biar yang benar akan keluar dari yang bertanggungjawab," titah baginda ketika ditemui selepas acara Walk With Al-Sultan Abdullah: King Of Sports di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Rabu.
Keberangkatan baginda ke acara berkenaan diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut menyertai bersama 150 tetamu jemputan, termasuk beberapa legenda sukan tanah air.
Antara yang hadir pada acara berkenaan ialah Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann (bola sepak), Datuk Rashid Sidek dan Datuk James Selvaraj (badminton), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki), G. Shanti (olahraga) serta Datuk Leong Mun Yee (terjun).
Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, apa yang berlaku wajar dijadikan pengajaran berharga buat semua supaya kesilapan sama tidak berulang pada masa hadapan.
"Sudah tentu perkara ini perlu menjadi ingatan kepada semua pada masa akan datang. Kita semua mesti membetulkan keadaan demi kebaikan bola sepak negara.
"Ini bukan masa untuk menuding jari. Kita perlu bangkit daripada kegelisahan dan masalah yang sedang melanda bola sepak kita dengan semangat baharu," titah baginda.
Sebelum ini, rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.
Manakala, tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
