KARIER penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado masih mempunyai sinar meskipun berdepan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dia sebelum ini dilaporkan bakal dilepaskan kelabnya, America de Cali selepas wartawan Colombia, Pipe Sierra membongkar usaha diambil untuk melepaskan pemain berusia 30 tahun itu.
Langkah tersebut diambil susulan rayuan dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap FIFA tidak berjaya, sekali gus memaksa kelab itu berbuat demikian.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM terkejut rayuan ditolak FIFA, diberi masa 21 hari heret kes ke CAS

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Bagaimanapun, masa depan Holgado dalam arena bola sepak profesional masih cerah kerana masih terdapat pasukan yang berminat dengan khidmatnya selepas penggantungan 12 bulan berakhir.
Ini selepas terdapat laporan bahawa bekas kelabnya, Coquimbo Unido dari Chile berminat mendapatkan semula khidmat penyerang itu bagi memperkuat jentera serangan pasukan yang kini sedang menghampiri kejuaraan liga domestik.
Sepanjang dua musim bersama Coquimbo pada 2018 dan 2023, Holgado menjaringkan 34 gol keseluruhan menjadikannya antara penyerang prolifik dalam sejarah kelab tersebut.
Bagaimanapun, peluang Holgado untuk kembali ke Coquimbo Unido masih bergantung kepada keputusan rayuan FAM dan penyelesaian isu undang-undang yang sedang dihadapinya di peringkat antarabangsa.

Penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dilaporkan bakal kembali memperkuat bekas kelabnya, Coquimbo Unido.
September lalu, FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada FIFA.
Tindakan itu bertujuan membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi mewakili skuad kebangsaan.
Selain Holgado, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel antara pemain yang turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
