SELEPAS Facundo Garces, media Argentina sekali lagi 'membongkar' asal-usul pemain warisan Harimau Malaya apabila melaporkan Imanol Machucha tidak mempunyai keturunan Malaysia.
Dalam satu temu bual bersama portal Sabado Velez, Machucha sebelum ini menegaskan bahawa kelayakannya untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia adalah berpunca daripada asal usul neneknya yang dikatakan rakyat Malaysia.
Namun, sijil kelahiran rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Awam Wilayah Santa Fe mendedahkan sebaliknya, apabila menunjukkan bahawa nenek Machucha iaitu Concepcion Agueda dilahirkan di Argentina dan berkahwin dengan warga tempatan negara itu.
BACA LAGI: Risau hantar ke CAS, FAM akan digantung — Bekas Setiausaha Agung AFF
BACA LAGI: 'Sebagai gentleman, kita akui sajalah', bekas SU Agung FAM kata lebih baik guna duit CAS bayar gaji pemain
Menerusi satu hantaran di laman X, portal Capital de Noticias mengesahkan bahawa Agueda dilahirkan di bandar Roldan dan bukannya di Pulau Pinang seperti yang tertulis di dokumen dihantar oleh Malaysia kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Ibu bapanya, Celestino Alaniz dan Nelida Agustina Ordonez disenaraikan sebagai warganegara Argentina. Rekod itu sekali gus menafikan dakwaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa nenek Machucha dilahirkan di Pulau Pinang.
"Dokumen yang disahkan oleh pegawai pendaftaran tempatan negara itu turut mengesahkan bahawa salasilah sebelah ibu Machucha adalah sepenuhnya berasal dari Argentina, tanpa sebarang kaitan dengan Malaysia," petik laporan itu.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai ketulenan dokumen sijil lahir dan daftar perkahwinan yang dilaporkan media Argentina itu, sama ada ia benar-benar milik nenek kepada Machucha atau sebaliknya.
Dokumen tular didakwa milik nenek Machucha.
Sebelum ini, portal sama turut memuat naik satu lagi dokumen yang didakwa milik datuk kepada pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garcés dengan mendakwa ia diperoleh daripada Arkib Negara Argentina.
Rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebelum ini berhubung kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.
Manakala, tujuh pemain termasuk Garces, Machuca, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
