Kes 7 pemain warisan kini isu integriti negara, pemerhati rasuah syor 2 langkah tidak langgar statut FIFA


  • Podium
  • Khamis, 06 Nov 2025

FAM dilaporkan mahu meneruskan kes tersebut dengan mengheretnya ke muka pengadilan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). — Facebook/MalaysiaNT

BADAN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan isu hukuman dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menjadi krisis integriti negara yang mencerminkan kelemahan serius dalam proses tadbir urus dan verifikasi dokumen di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, keputusan FIFA itu menunjukkan wujudnya 'misrepresentation of facts' berhubung status pemain warisan, sekali gus mendedahkan kepincangan dalam sistem pengesahan dokumen yang sepatutnya berada di bawah kawalan ketat FAM.

"MCW memandang serius isu hukuman FIFA terhadap Malaysia, yang bukan lagi sekadar isu teknikal bola sepak, tetapi sudah menjadi isu integriti negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: 'Adakah CAS jawapannya? Cabaran FAM bermula selepas itu termasuk menangi semula hati peminat Harimau Malaya'

BACA LAGI: Gantung Harimau Malaya, 'salin' FAM jika FIFA kekal keputusan

Sehubungan dengan itu, beliau turut menyokong pendekatan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi ruang kepada siasatan bebas untuk menguruskan isu berkenaan.

Pada masa sama, MCW menegaskan bahawa langkah reformasi tadbir urus dalam FAM perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berstruktur tanpa melanggar Statut FIFA yang melarang campur tangan kerajaan secara langsung.

Bagi menangani isu ini secara tuntas, MCW mencadangkan dua langkah utama iaitu Penetapan ‘Standard Tadbir Urus Minimum’ oleh kerajaan terhadap FAM dan Kajian Struktur (Structural Review) oleh panel bebas yang dipantau Pesuruhjaya Sukan (PJS). 

"Kerajaan menetapkan ‘Minimum Governance Standards’ yang wajib dipatuhi FAM tanpa mengambil alih atau mengurus FAM, kerajaan menetapkan standard integriti minimum (audit compliance, risk governance, documentation verification) yang menjadi syarat operasi FAM untuk menutup ruang kelemahan sistemik.

"Proses “Structural Review” oleh panel pakar luar yang bebas, dipantau PJS. Panel bebas ini meneliti punca sebenar misrepresentation, mengenalpasti jurang SOP, dan mengesyorkan pembaikan struktur FAM sebagai entiti  tanpa campur tangan terus kerajaan ke dalam pentadbiran FAM," jelasnya.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim

Jelas Jais, kedua-dua langkah itu tidak akan melanggar Statut FIFA, sebaliknya mampu memulihkan integriti institusi sukan melalui mekanisme yang profesional dan berkesan.

Dalam masa sama, MCW turut menubuhkan Jawatankuasa Rakyat yang dianggotai 100 penyokong setia Harimau Malaya bagi menyalurkan pandangan serta suara hati penyokong secara teratur, sistematik dan berfakta.

"Suara penyokong adalah suara stakeholder paling besar dalam bola sepak Malaysia. Pandangan mereka perlu diambil kira dalam proses reformasi struktur FAM," ujarnya.

Beliau menegaskan, MCW akan terus memainkan peranan sebagai suara integriti nasional dan bersedia menyumbang kepakaran dalam usaha membina semula kerangka tadbir urus sukan tanah air agar maruah Malaysia dapat dikembalikan dan dihormati di peringkat antarabangsa. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram