EMPAT kekalahan berturut-turut dialami Selangor FC di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two, termasuk ketika mereka menerima kunjungan Persib Bandung di laman sendiri pada Khamis.
Dalam pertembungan itu, skuad Gergasi Merah terlebih dahulu berada di depan menerusi gol Chrigor Moraes seawal minit ketiga permainan sebelum jaringan sendiri Patricio Matricardi menggandakan kedudukan tuan rumah.
Namun, kelebihan terbabit gagal dimanfaatkan sepenuhnya anak-anak buah Christophe Gamel apabila kealpaan barisan pertahanan menyaksikan gawang mereka dibolosi pada minit ke-49 menerusi percubaan jarak dekat Andrew Jung.
BACA LAGI: Suhaimi, penjaga gol Selangor dipanggil gantikan duo kiper Harimau Malaya cedera
BACA LAGI: Dikaitkan dengan Melaka, Sikh Izhan serah nasib kepada Selangor
Derita Selangor FC bertambah memasuki minit-minit akhir perlawanan apabila pemain gantian Persib Bandung, Adam Alis mencetak dua gol untuk memastikan kedudukan 3-2 berpihak kepada pasukan pelawat.
Malah, gol kedua kelab Indonesia itu berpunca dari kesilapan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel yang cuba melakukan hantaran jauh sebelum bola berjaya ditampan pihak lawan.
Kealpaan pemain muda tersebut cukup melukakan kerana sepanjang 90 minit permainan, dia berkali-kali melakukan tampanan berani untuk mengelak kekalahan lebih besar.
Berdasarkan statistik, Persib Bandung melakukan 11 percubaan tepat ke arah pintu gol dengan lapan daripadanya berjaya ditepis keluar Sikh Izhan.
Ini membuktikan penjaga gawang itu sudah mencurahkan sumbangan besar sepanjang perlawanan, namun tidak cukup untuk membantu skuad Gergasi Merah meraih mata pertama di ACL Two.
Kecewa akan perkara tersebut, pemain berusia 23 tahun itu kelihatan gagal menahan sebak apabila air matanya gugur seperti mana sempat dirakam selepas tamat perlawanan.
Tetapi, penyokong juga enggan menyalahkan Sikh Izhan atas kekalahan Selangor FC dengan masing-masing menyokongnya agar dapat kembali ke tahap terbaik.
"Saya penyokong JDT (Johor Darul Ta'zim) pun terharu dengan kerja keras Sikh Izhan dan pasukan. I can feel it bro, kehidupan perlu diteruskan. Comeback stronger," kata Shahrizan Mohd Yusof.
"Dia banyak kali menepis bola, dia dah bermain bermati-matian. Tangisan kesal kami cukup rasakan," kata Geminiser Aisy.
"Bukan salah penjaga gol, dia dah banyak kali menyelamatkan bola. Mereka yang terlalu kerap menghantar bola ke belakang, kan dah mendapat," kata Mohammad Najib Abdul Khalid.
Setelah gagal meraih kepercayaan pada awal musim, Sikh Izhan berjaya meletakkan diri dalam kesebelasan utama enam penampilan sudah direkodkan.
Malah, kehadirannya dalam pasukan menyaksikannya berjaya menepikan pemain berpengalaman seperti Kalamullah Al-Hafiz dan Sam Somerville yang masing-masing juga mempunyai standard tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
