SKANDAL pemain warisan yang menyaksikan Malaysia dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terus menjadi bualan hangat peminat bola sepak tanah air.
Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebelum ini berhubung kes pemalsuan dokumen sudah ditolak Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Biar kebenaran didedahkan’, Sultan Abdullah tuntut kebangkitan FAM, jadikan peringatan
BACA LAGI: 'Sebagai gentleman, kita akui sajalah', bekas SU Agung FAM kata lebih baik guna duit CAS bayar gaji pemain
Susulan keputusan berkenaan, badan induk bola sepak negara diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.
Manakala, tujuh pemain termasuk Facundo Garces, Imanol Machuca, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Ramai berpendapat, kemelut yang melanda FAM itu bukan sekadar mencalar maruah negara di pentas antarabangsa, tetapi turut menonjolkan kelemahan dalam aspek tadbir urus dan pengurusan dalaman organisasi berkenaan.
Berikutan kontroversi itu, warganet tampil meluahkan rasa kecewa sambil mengimbas kembali era kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah menerajui FAM sebagai Presiden dari 2014 hingga 2017.
Menurut mereka, tempoh kepimpinan baginda disifatkan sebagai antara era paling stabil dan berdisiplin dalam sejarah bola sepak negara dengan pengurusan FAM yang tersusun serta bebas daripada sebarang kontroversi besar.
"Ampun Tuanku, zaman Tuanku pegang FAM itu okay saja. Tiada langsung masalah kewangan atau apa, tapi sekarang caca-marba dibuatnya," tulis pengguna akaun, collectorhotwheels09.
"Harap Tuanku Abdullah kembali ke FAM," komen seorang pengikut Harimau Malaya, Wanza Wanza yang merindui kepimpinan baginda.
"Bagi saya, baik Tuanku saja yang pimpin FAM macam dulu. Sekarang sudah tidak tentu arah," kata pengguna lain, SimonSays.
Ketika menerajui pucuk pimpinan FAM, Sultan Abdullah dikenali sebagai pemimpin rendah diri namun tegas dalam memastikan hala tuju bola sepak negara berada pada landasan yang betul.
Sultan Abdullah bukan sahaja dipilih sebagai Presiden FAM, bahkan sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (2002-2015) dan juga ahli jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2015 hingga 2019.
Memulakan kepimpinan dalam bola sepak sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pada tahun 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP sehingga tahun 2005, Sultan Abdullah menjadi naib presiden FAM sebelum Perlembagaan FAM dipinda pada 1992 untuk membenarkan dua kerusi timbalan presiden.

Sultan Abdullah memegang jawatan sebagai Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.
Baginda menjadi Timbalan Presiden FAM dari tahun 1992-2007 dan kembali semula memegang jawatan itu pada tahun 2010-2014 sebelum mengambil alih selaku presiden pada tahun 2014.
Ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden, Sultan Abdullah berjaya membawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Piala Dunia Remaja Edisi ke-11 pada tahun 1997 ke bumi Malaysia sebagai tuan rumah.
Sultan Abdullah kemudian mengumumkan untuk melepaskan jawatan nombor satu badan induk bola sepak negara itu pada 7 September 2015, selepas skuad Harimau Malaya tewas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Kini, selepas lebih tujuh tahun meninggalkan tampuk kepimpinan FAM, nama Sultan Abdullah kembali meniti di bibir penyokong yang mengharapkan baginda kembali menerajui demi mengembalikan maruah bola sepak Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
