KELAB Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja gah dengan deretan kejayaan yang diraih di pentas tempatan dan Asia, malah turut mencetuskan fenomena apabila berjaya menarik minat pemain bertaraf bintang dunia.
Antara nama besar pernah direkrut Harimau Selatan ialah bekas bintang Argentina, Pablo Aimar yang menyertai JDT pada 2014 selepas melalui karier gemilang bersama River Plate, Valencia, Real Zaragoza dan Benfica.
Musim lepas pula, Harimau Selatan membawa masuk penyerang kelahiran Sepanyol, Jese Rodriguez yang tiba di Selatan tanah air pada Oktober tahun lalu dengan perpindahan itu mengejutkan orang ramai.
BACA LAGI: Tak lama lepas digugurkan JDT, Jese Rodriguez disebut berada dalam radar kelab lama
BACA LAGI: Lepas 6 tahun kemarau piala, Jese Rodriguez akhirnya rangkul trofi pertama di Asia bersama JDT
Hal ini kerana pemain sayap berkenaan pernah mewakili kelab gergasi sekitar Eropah, termasuk Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) dengan pelbagai kejayaan pernah dikecapinya.
Bagi musim ini, Harimau Selatan terus menambah kekuatan dengan kemasukan beberapa pemain berpengalaman dari Sepanyol, antaranya Nacho Mendez yang pernah mewakili Sporting Gijon, Raul Parra dan bekas pemain Getafe iaitu Jonathan Silva.
Namun, pengendali JDT, Xisco Munoz menegaskan bahawa kejayaan dan kekuatan pasukannya tidak bersandarkan kepada kehadiran pemain berprofil tinggi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada semangat berpasukan serta struktur organisasi yang kukuh di kelab itu.

Perpindahan Jese ke skuad Harimau Selatan pada musim lepas menjadi bahan bualan peminat bola sepak tempatan. — Facebook/JDT
"Ramai pemain sebenarnya sesuai bermain di JDT terutama dari kelab besar seperti Real Madrid atau Barcelona. Tetapi dasar kami berbeza kami tidak mencari nama besar, sebaliknya membina sebuah pasukan yang kukuh sebagai satu unit.
"Kami sudah mempunyai pemain berpengalaman dari Sepanyol, namun matlamat utama kami ialah membentuk kekuatan kolektif kerana kami bersaing dengan kelab yang memiliki bajet jauh lebih besar. Kekuatan kumpulan adalah kunci kejayaan kami," katanya memetik laporan media Sepanyol, Marca.
Bekas pengendali Watford itu turut memuji sistem dan budaya kerja profesional yang diamalkan di JDT, yang disifatkannya sebagai antara faktor utama kejayaan Harimau Selatan mendominasi bola sepak tempatan dan semakin dihormati di pentas antarabangsa.
“Kelab ini mempunyai struktur yang sangat jelas. Pengarah sukan tahu dengan tepat apa yang dicari dan bagaimana untuk mencapainya. Itu menghapuskan keraguan dan mempercepatkan proses kerja. Kami berkongsi budaya kerja serta standard yang sama,” jelasnya.
Munoz baru-baru ini membuktikan kredibilitinya di peringkat Asia bersama JDT apabila memimpin pasukan membenam gergasi China, Shanghai Shenhua 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Kejayaan berharga itu bukan sahaja melonjakkan Harimau Selatan ke tangga kedua Kumpulan A Zon Timur dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
