TMJ anggap hukuman FIFA bermotifkan politik


  • Podium
  • Selasa, 04 Nov 2025

FIFA menolak rayuan FAM berkait skandal tujuh pemain warisan.

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengatakan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkait skandal tujuh pemain warisan adalah bermotifkan politik semata-mata. 

Menerusi media sosialnya pada Selasa, Tunku Ismail yang mesra dengan gelaran Tunku Mahkota Johor (TMJ) menganggap tindakan FIFA itu tidak mengikut undang-undang.

TMJ berkata, FIFA tidak menggunakan peruntukkan undang-undang yang sepatutnya dalam melaksanakan hukuman.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Laporan jawatankuasa bebas dijangka siap dalam tempoh 6 minggu

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM terkejut rayuan ditolak FIFA, diberi masa 21 hari heret kes ke CAS

"FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.

"Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar," ujar TMJ.

Keputusan yang diambil oleh FIFA jelas menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Walaupun ramai menzahirkan kekecewaan, namun TMJ tetap teguh bersama para pemain warisan yang terkesan dengan FAM akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS — sebuah badan bebas," kata TMJ.

Pada Isnin, FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman kepada badan induk itu termasuk tujuh pemain warisan iaitu denda dan pergantungan selama 12 bulan.

Tujuh pemain tersebut adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram