Skandal pemain warisan: FAM terkejut rayuan ditolak FIFA, diberi masa 21 hari heret kes ke CAS


  • Podium
  • Isnin, 03 Nov 2025

FIFA mengekalkan hukuman denda terhadap FAM serta penggantungan 12 bulan ke atas semua tujuh pemain warisan.

 

RAYUAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Baru tahu susahnya Liga Super', musim pertama ajar penyerang buruan Perak 'sesuatu'

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Laporan jawatankuasa bebas dijangka siap dalam tempoh 6 minggu

Manakala, tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

Menurut FIFA, keputusan itu dibuat selepas meneliti dokumen rayuan dan mengadakan sesi pendengaran sebelum memutuskan untuk menolak semua rayuan yang dikemukakan.

“Selepas menganalisis hujah dan mengadakan proses pendengaran, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan dan mengesahkan sekatan," tulis kenyataan itu.

Ini sekali gus menyaksikan hukuman denda ke atas FAM dan penggantungan 12 bulan ke atas kesemua terlibat akan dikekalkan.

FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, FIFA turut memaklumkan bahawa kes berkenaan boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh masa ditetapkan.

"FAM dan pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab. Selepas itu, mereka diberi 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke CAS,” tambahnya.

Dalam pada itu, FAM dalam kenyataan terkini turut memaklumkan terkejut akan pendirian FIFA dengan Pemangku Presiden, Datuk Yusoff Mahadi akan berusaha memperoleh butiran penuh daripada badan induk bola sepak antarabangsa tersebut.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang mana rayuan kami telah ditolak.

"FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

"Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.

"Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa," tulisnya dalam kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram