Gajet bukan pengasuh, tak boleh ganti ibu bapa — Fahmi Fadzil


  • Massa
  • Isnin, 03 Nov 2025

Fahmi menyeru agar ibu bapa lebih peka terhadap apa yang ditonton dan dimainkan oleh anak-anak di internet.

IBU bapa dan penjaga diseru agar sentiasa memantau kandungan dalam talian yang diakses kanak-kanak termasuk permainan video yang mereka main.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun kerajaan boleh mengenakan syarat pelesenan atau sekatan terhadap platform tertentu, peranan ibu bapa tetap penting dalam hal berkenaan.

“Gajet bukan pengasuh. Gajet tak boleh menggantikan (peranan) ibu bapa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat pada Isnin (3 November).

BACA LAGI: Pengaruh 'games' dikhuatiri punca budak jadi ganas, Malaysia patut ikut jejak Barat haramkan Roblox

BACA LAGI: Rasional had umur minimum guna media sosial, pakar jelaskan sebab remaja bawah 16 tahun belum sedia ‘scroll’ dunia maya

Beliau menyeru agar ibu bapa lebih peka terhadap apa yang ditonton dan dimainkan oleh anak-anak di internet.

Pada 27 Oktober lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera akibat ditetak oleh abangnya yang berusia sembilan tahun di Kampung Parit Nipah, Batu Pahat.

Polis memaklumkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa marah si abang setelah permainannya dalam talian, Roblox, terganggu sehingga menyebabkan dia kehilangan kemajuan dalam permainan tersebut.

Fahmi turut berkongsi bahawa beliau sendiri tidak membenarkan anak-anaknya bermain permainan tersebut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti 10 instrumen subsidiari bagi memudahkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Beliau menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian akan diguna pakai terhadap penyedia perkhidmatan seperti platform media sosial, pembangun permainan dan seumpamanya, manakala Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula terpakai kepada pengguna.

“Secara asasnya, platform dan entiti ini perlu dilesenkan sebelum akta tersebut boleh dikuatkuasakan terhadap mereka.

"Adakah kita mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya? Ya, kita ada,” katanya.

Tambahnya, terdapat pihak pelobi (lobbyist) yang cuba menghalang usaha kerajaan untuk melesenkan entiti berkenaan.

“Syarikat teknologi besar memang berpengaruh, tetapi mereka tidak mengatasi Perlembagaan dan undang-undang negara kita. Mereka boleh berniaga, tetapi mesti mematuhi undang-undang Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, Dr Kelvin Yii (PH–Bandar Kuching) mengemukakan pertanyaan sama ada sebarang data akan disimpan oleh platform berlesen atau kerajaan semasa pelaksanaan pengesahan umur pengguna.

Menerusi jawapannya, Fahmi berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian, Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 akan terpakai bagi urusan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menjunjung prinsip kebebasan media dan menjamin hak rakyat untuk bersuara seperti termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, kebebasan bersuara ini bukan mutlak. Ia mesti diamalkan secara bertanggungjawab dan beretika, dengan mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang membentuk masyarakat Malaysia.

“Bagaimanapun, kebebasan media perlu disokong oleh kod etika agar tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. — The Star/ RAGANANTHINI VETHASALAM dan RAHIMY RAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram