Skandal pemain warisan: Laporan jawatankuasa bebas dijangka siap dalam tempoh 6 minggu


  • Podium
  • Isnin, 03 Nov 2025

Jawatankuasa bebas dijangka menyiapkan laporan penuh kes FIFA tujuh pemain warisan dalam tempoh enam minggu. — FAM

JAWATANKUASA Siasatan Bebas (JSB) yang ditubuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyiasat kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan tujuh pemain warisan dijangka menyiapkan laporan penuh dalam tempoh enam minggu.

JSB yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini sebagai permulaan proses siasatan yang merangkumi isu dokumentasi.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Md Raus berkata, jawatankuasa itu diberi mandat untuk meneliti kes berkenaan secara menyeluruh dan mengemukakan syor kepada badan induk bola sepak negara bagi tindakan susulan yang wajar diambil.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Baru tahu susahnya Liga Super', musim pertama ajar penyerang buruan Perak 'sesuatu'

BACA LAGI: Belum separuh musim, sudah ada 3 pemain terpaksa berehat lama akibat kecederaan

Selain Md Raus, JSB turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said, bekas Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, manakala peguam kanan, Datuk Thavailingarum C. Thavarajah dilantik sebagai setiausaha.

Bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, kemudahan pentadbiran dan tugas penyediaan sekretariat tidak dikendalikan oleh FAM, sebaliknya diserahkan kepada firma guaman luar, Tetuan Hafarizan Wan & Aisha Mubarak.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

“FAM telah mencadangkan dalam surat yang sama bahawa segala kemudahan pentadbiran dan bantuan sekreteriat yang diperlukan akan disediakan oleh FAM bagi memastikan kelancaran urusan JSB.

“Namun demikian, bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, kemudahan pentadbiran dan bantuan sekreteriat akan disediakan oleh Tetuan Hafarizan Wan & Aisha Mubarak (Peguambela &Peguamcara),” katanya.

FAM sebelum ini menyerahkan sepenuhnya kuasa pelantikan ahli JSB kepada Md Raus bagi menjamin kebebasan jawatankuasa itu ketika menjalankan tugas mereka.

Laporan akhir JSB akan menjadi asas kepada tindakan yang bakal diputuskan FAM berhubung kes yang mendapat perhatian peringkat antarabangsa itu.

September lalu, FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM didapati telah menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada FIFA.

Tindakan itu bertujuan membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi mewakili skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram