KEPUTUSAN tepat diambil Perak FA yang memilih untuk menyertai Liga A1 Semi Pro 2025/26 kerana pasukan itu kini berada di tangga kedua selepas sembilan perlawanan.
Selepas sekadar mengumpul satu mata dari dua aksi pertama sebelum ini, pasukan kendalian Syamsul Saad itu berjaya bangkit dengan merekodkan tiga kemenangan berturut-turut, termasuk ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) II di tempat lawan.
Prestasi memberangsangkan itu sekali gus meletakkan skuad Seladang sebagai pencabar utama takhta Liga A1 Semi Pro meskipun baru kali pertama menyertainya.
BACA LAGI: Baru saja dilantik, Syamsul Saad sudah dapat 'lampu hijau' penyokong kemudi Perak FA
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalaulah ada VAR', mutu pengadilan halang Perak kutip 3 mata berdepan KRW

Perak FA hanya dibezakan tiga mata berbanding Selangor FC II ketika ini. — Facebook/AFL
Malah, peluang cerah dihidangkan buat Perak FA untuk melonjak ke tangga teratas apabila mereka bakal menerima kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Isnin depan.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor itu menjanjikan aksi yang mendebarkan memandangkan kedua-dua pasukan itu berpangkalan di Utara tanah air.
Bagaimanapun, sekiranya dilihat kepada prestasi semasa, skuad Seladang mempunyai peluang besar untuk merekodkan tiga mata penuh berbanding pasukan pelawat.
Seperti mana dinyatakan di atas, Perak FA kini berada momentum cemerlang, lebih-lebih lagi selepas menumpaskan Manjung City FC dan Armed Forces FC.

Skuad Seladang merekodkan beberapa keputusan memberangsangkan musim ini. — Facebook/Perak FA
Dalam kedua-dua perlawanan itu, pasukan berkenaan menampilkan aksi cukup memberangsangkan dengan penyokong menyedari potensi dimiliki setiap pemain.
Ini kerana skuad Seladang tidak bergantung sepenuhnya terhadap pemain import untuk menjaringkan gol kerana peranan berkenaan juga dipikul cemerlang oleh nama-nama seperti Alif Zikri dan Fadhil Azmi.
Kebolehan mereka untuk mencetak jaringan membuktikan barisan kejurulatihan sudah menemui resipi terbaik dalam menjadikan Perak FA pencabar utama.
Sementara itu, KDA FC yang memulakan kempen kali ini dengan kemenangan ke atas Machan FC gagal merekodkan sebarang mata dalam tujuh perlawanan seterusnya.

Skuad Sang Kenari berada dalam prestasi mengecewakan dalam Liga A1 Semi Pro. — Facebook/KDA FC
Ini termasuk beberapa kekalahan mengecewakan seperti ditundukkan 0-6 kepada Selangor FC II dan dimalukan UM-Damansara United menerusi keputusan 1-4 dengan kedua-dua aksi itu berlangsung di laman sendiri.
Penantian untuk mengumpul satu mata dalam saingan liga akhirnya terhenti selepas mereka mengikat Perlis GSA FC dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan menjaringkan dua gol.
Prestasi memalukan anak-anak buah Azzmi Aziz itu meletakkan mereka kini di tangga kedua tercorot sehingga ada yang melabel skuad Sang Kenari sebagai 'lubuk tiga mata' dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Reputasi itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya Perak FA yang memerlukan tiga mata penuh untuk sekurang-kurangnya memberi cabaran ke atas Selangor FC II sebagai pendahulu carta.
Sekiranya gagal berbuat demikian, skuad Seladang belum boleh diangkat sebagai pencabar serius memandangkan setiap mata berharga di pentas Liga A1 Semi Pro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
