
RENTETAN tiga kemenangan berturut-turut dicatatkan Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 berakhir selepas pasukan itu seri ketika menentang Kelantan Red Warriors (KRW) FC.
Pertembungan berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor itu menyaksikan pasukan pelawat membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti Emmanuel Mbarga.
Bagaimanapun, kelebihan beraksi di laman sendiri menyuntik semangat buat skuad Seladang untuk bangkit mengikat kedudukan menerusi Christian Chukwu.
BACA LAGI: Pertembungan 2 FA di Liga A1, Perak sudah berhasil tapi apa cerita Kedah?
BACA LAGI: ‘Flop’ di NSFC, bek Nigeria dipersoal jadi pilihan Perak FA bukannya penyerang
Perlawanan di Kompleks Bola Sepak Perak berakhir dengan keputusan seri. — Facebook/Perak FA
Gol penyerang dari Nigeria itu terhasil pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti dengan tendangan import Perak FA tersebut berjaya menewaskan penjaga gol KRW FC, Shafiq Afifi.
Kejayaan mengikat semula kedudukan menjadi motivasi buat anak-anak buah Syamsul Saad untuk memburu jaringan tambahan bagi memastikan tiga mata penuh berjaya dibawa pulang.
Malah, peluang itu sememangnya dimiliki tuan rumah selepas sepakan percuma Daniel Hakimi Azmil pada minit ke-76 sudah melepasi jaringan gol, namun gagal dikesan pihak pengadilan.
Berdasarkan ulang tayang perlahan, tendangan deras pemain itu mengenai palang gol KRW FC yang menyebabkan bola melantun dan keluar ke kawasan permainan.
Tetapi, disebabkan kedudukan penjaga garisan dan pengadil yang jauh dari kawasan itu, jaringan terbabit tidak disahkan dengan ia menjadi bahan bualan peminat.
Penyokong Perak FA sudah tentu kecewa akan keputusan berkenaan dengan masing-masing menganggap tiga mata sudah menjadi milik pasukan meskipun tahu kedudukan akhir 1-1 tidak boleh berubah.
"Kalaulah ada video bantuan pengadil (VAR), pasti Perak FA sudah pungut tiga mata penuh melalui sepakan percuma ini. Aduhai pengadil dan penjaga garisan," kata Mukhta Musa.
"Dalam hal sebegini, penjaga garisan yang bersalah kerana berada jauh sangat. Sebenarnya bola sudah melepasi garisan gol," kata Abdul Latif.
"Wahai Liga Bola Sepak Amatur (AFL), sila siasat penjaga garisan. Di mana kedudukannya ketika bola melepasi garisan sehinggakan dia tidak dapat pastikan keadaan. Kami mahu tiga mata yang dinafikan," kata Nahar Haji Ibrahim.
Keputusan seri itu menyaksikan Perak FA jatuh satu anak tangga ke kedudukan keempat selepas enam perlawanan sementara KRW FC naik ke tangga ke-13 carta.
Skuad Seladang berpeluang kembali ke kelompok tiga teratas sekiranya mampu kembali ke landasan kemenangan dalam aksi akan datang menentang Malaysian University FT di tempat lawan pada Ahad depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram