[VIDEO] Kedua-duanya kini berstatus kelab, Derby Utara pernah saksikan Kedah belasah Perlis tanpa belas kasihan


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Billy Mehmet (tengah) menjadi antara pemain yang meletakkan nama dalam senarai penjaring ketika aksi Derby Utara sebelum ini.

SELEPAS lapan minggu saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 berlangsung, penyokong disajikan pelbagai keputusan mendebarkan dengan setiap pasukan mempamerkan aksi terbaik.

Manfaat terbesar sudah tentu berpihak kepada peminat bola sepak sekitar Utara tanah air kerana terdapat empat daripada 16 pasukan bersaing musim ini adalah dari kawasan itu.

Ini termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC yang meskipun berada dalam kedudukan dua tercorot, mereka masih dapat menarik kehadiran baik ke Stadium Mini MPKP, Jitra.

BACA LAGI: 'Renew' Derbi Utara di Liga A1 selepas 6 tahun, Perak dan Kedah meniti jalan kebangkitan

BACA LAGI: Jangan hanya harap Ebenezer, 3 pemain Kedah perlu 'step up' aksi Derby Utara

Aksi melibatkan skuad Lang Merah dan Perlis GSA FC awal musim lalu menarik hampir 4,000 penyokong. Facebook/Kedah FA

Catatan itu adalah sesuatu yang positif kerana kelab tersebut ditubuhkan dengan misi melahirkan lebih ramai bakat muda selepas mereka terpalit masalah pengurusan sepanjang tahun lalu.

Malah, pada perlawanan akan datang, skuad Sang Kenari dijangka mampu merekodkan angka lebih baik berbanding sebelum ini kerana aksi Derby Utara bakal mempertemukan mereka dengan Perlis GSA FC.

Wakil tunggal dari Perlis itu sebelum ini sudah terlibat dalam perlawanan menentang seteru setempat iaitu Kedah FA yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Pertembungan dua pasukan Utara tersebut berjaya mencuri perhatian ramai apabila 4,168 penyokong hadir ke Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis untuk menonton aksi terbabit secara langsung.

Kemeriahan sebegitu dijangka mampu dirasakan bagi perlawanan melibatkan Perlis GSA FC dan KDA FC pada Sabtu meskipun kedua-dua kelab tidak berada dalam keadaan terbaik.

Aksi Derby Utara kali ini melibatkan dua kelab berstatus swasta dari Perlis dan Kedah. Facebook/KDA FC

Ini kerana setiap aksi Derby Utara tidak pernah gagal menarik jumlah kehadiran menggalakkan memandangkan permusuhan pasukan dari dua negeri itu sudah lama disaksikan.

Namun, penyokong dari Perlis harus mengakui bahawa kualiti pasukan dari Kedah adalah lebih baik, termasuk ketika kedua-dua mereka bertemu dalam saingan Liga Perdana 2014.

Ketika itu, mereka bertemu dalam saingan divisyen kedua buat pertama kali setelah skuad Lang Merah tersingkir dari Liga Super pada musim sebelumnya.

Penyingkiran itu bagaimanapun tidak menjadi punca nama-nama besar seperti Baddrol Bakhtiar, Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali untuk mencari kelab baharu.

Tidak cukup dengan itu, status gergasi Kedah FA membolehkan mereka membawa masuk import seperti Adam Griffiths sementara Perlis FA gagal menandingi musuh setempat mereka berkenaan.

Kesannya, aksi Derby Utara di Stadium Darul Aman, Kedah pada April 2014 menyaksikan tuan rumah mudah membenam pasukan pelawat menerusi keputusan 6-1.

Perlawanan tersebut terus diabadikan sehingga hari ini di laman Facebook rasmi Kedah FA yang berkongsi sedutan pertembungan hangat berkenaan dengan jelas terdapat jurang kualiti.

Gol-gol dalam aksi terbabit dijaringkan Billy Mehmet dengan meraih dua jaringan peribadi sementara Baddrol, Griffiths serta Faizal Abu Bakar turut berada dalam senarai penjaring.

Selepas itu, pasukan dari dua negeri Utara tanah air tersebut tidak pernah berentap sehingga aksi antara Kedah FA dan Perlis GSA FC berlangsung pada awal saingan Liga A1 Semi Pro.

Kehangatan dan debaran keputusan seperti mana pernah disaksikan kira-kira 11 tahun lalu itu diharapkan mampu berulang bagi menyajikan kemeriahan buat peminat bola sepak di Utara tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram