PELUANG Selangor FC untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two kian pudar susulan kekalahan dialami kepada Persib Bandung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia pada Khamis.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad Gergasi Merah gagal meraih sebarang mata selepas tiga perlawanan yang meletakkan mereka di dasar Kumpulan G.
Posisi berkenaan sememangnya sukar untuk ditelan peminat yang mengharapkan pasukan Lembah Klang terbabit dapat melangkah ke pusingan seterusnya setelah perbelanjaan besar dibuat pada jendela perpindahan lalu.
BACA LAGI: Misi hidup mati, Selangor boleh lupakan kempen ACL Two jika tewas di Indonesia
BACA LAGI: Setuju dengan Bojan Hodak, bekas bintang Perak akui tak boleh pandang mudah Selangor

Kekalahan dialami di Indonesia hampir pasti menutup kisah Selangor FC di pentas Asia. — Facebook/ACL
Bagaimanapun, pemain seperti Zach Clough dan Willian Lira gagal meningkatkan kualiti Selangor FC yang kini perlu memberi fokus kepada saingan domestik dan Piala Shopee.
Kecewa akan perkara itu, penyokong mula melempar kritikan hebat terhadap skuad Gergasi Merah dengan mempersoalkan prestasi pasukan di pentas Asia.
"Memalukan! Nikmat apa lagi yang hendak didustakan? Undian bertemu kelab negara jiran, faham maksud jiran? Dekat sahaja pun, bukannya di Jepun! Tiga perlawanan dan tiga kekalahan, sabar ada hadnya.
"Setiap tahun nak main di Asia, tetapi peringkat Asia ini yang ditampilkan? Mana yang digembar-gemburkan nak buktikan di peringkat Asia kita boleh juara tetapi tidak di Liga Malaysia?" kata Selangor Fanatik Official.
"Kalau nak dibandingkan dengan kelab sebelum ini yang main dalam Piala AFC atau ACL Two, setidak-tidaknya mereka banyak menyumbang mata MA Ranking untuk negara walaupun bajet tak sebesar Selangor. Memang memalukan," kata Meiza Limmays.

Piala Shopee masih menyajikan peluang buat Selangor FC membuktikan diri. — Agensi
"Selangor FC daripada awal musim pun tak memberangsangkan, tak seperti musim lalu. Itulah sebab duduk di pertengahan Liga Super. Masuk ACL Two terus lemau," kata Shahlan AK.
Harapan untuk ke pusingan kalah mati kian terpadam sepatutnya menjadi isyarat buat anak-anak buah Christophe Gamel untuk memberi fokus terhadap pertandingan lain.
Skuad Gergasi Merah kini masih berpeluang memberikan persembahan terbaik dalam Piala FA dan Piala Shopee sementara perlu mengekalkan konsistensi di pentas Liga Super.
Namun, dengan prestasi tidak menentu dialami ketika ini, mampukah Selangor FC memberi cabaran tatkala pasukan tempatan lain seperti Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kuching City FC kian gah dalam kelas tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
