Bagaikan hilang 'taring', 2 bekas penggempur HM belum berjaya ledak gol untuk kelab masing-masing di Liga M


  • Podium
  • Isnin, 27 Okt 2025

Di saat beberapa nama baharu dan pemain naturalisasi mula mencuri perhatian, kedudukan bekas pemain Harimau Malaya semakin tenggelam dalam kalangan penyokong. — Facebook/Malaysian NT

DUA bekas penggempur Harimau Malaya kini berdepan satu kemerosotan prestasi yang semakin ketara sehingga menimbulkan persoalan sama ada ketajaman yang pernah mereka miliki kini hanya tinggal memori. 

Syafiq Ahmad bersama DPMM FC dan Shahrel Fikri di Melaka FC masing-masing masih belum membuka akaun jaringan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai masa depan mereka sebagai penyerang yang dahulunya pernah menjadi sandaran utama negara.

Bagi Syafiq, kariernya sebelum ini tidak asing daripada turun naik mendadak kerana dia pernah tampil sebagai penyerang serba boleh dengan kelebihan kebijaksanaan membuka ruang ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

BACA LAGI : Angka tak menipu, Jairo buktikan diri mampu jadi aset utama JDT walau kerap dikritik

BACA LAGI : Ramai tak tahu, bukan Sumareh tetapi bintang Singapura muncul pemain naturalisasi pertama Malaysia sebelum ‘campur tangan’ FIFA

Malah, kematangannya ketika itu menjadikan dia antara watak penting dalam unit serangan Harimau Malaya. 

Namun, selepas beberapa siri kecederaan, kehilangan minit permainan, dan pertukaran peranan taktikal menyebabkan dirinya tidak lagi memiliki ritma yang pernah menjadikan namanya disegani. 

Syafiq yang kini menggalas cabaran bersama DPMM FC, sudah melalui lapan perlawanan tanpa sebarang gol. 

Syafiq kelihatan bekerja keras membentuk semula keyakinan diri bersama pasukan DPMM FC. — Facebook DPMM FC

Ini bukan sekadar angka kosong di papan skor, tetapi menandakan kemerosotan yang semakin ketara dalam prestasinya. 

Anak jati Kedah itu juga kelihatan bekerja keras membentuk semula keyakinan diri bersama pasukan baru, namun sentuhannya di dalam kotak penalti tampak teragak-agak, seolah-olah naluri penyerang yang pernah dimilikinya hilang.

Shahrel pula menempuh cabaran suasana yang berbeza tetapi kesannya hampir sama. Siapa sangka, pemain yang  pernah diiktiraf sebagai Penyerang Terbaik dalam dua edisi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) pada 2017 dan 2020 kini gagal menyerlah.

Musim lalu, dia mula menunjukkan petanda kebangkitan setelah berjaya menjaringkan beberapa gol dan kembali menemui sentuhan klinikalnya ketika bersama PDRM FC. 

Namun, sentuhan Shahrel yang turut muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan dengan 10 gol ketika bersama Perak FA pada 2020 itu nampaknya semakin hilang selepas menyarung jersi Melaka FC. 

Manakan tidak, jika melihat pada prestasi terkini yang sudah memasuki enam perlawanan bersama Melaka, Sharel gagal mencetak sebarang jaringan.

Pada masa sama, analisis taktikal memperlihatkan isu struktur pasukan itu turut dilihat memberi kesan besar pada dirinya. 

Shahrel kelihatan sering terperangkap di antara dua pertahanan lawan tanpa bekalan bola yang mampu memberi kelebihan. — Melaka FC

Melaka FC banyak menumpukan permainan kepada kawasan tengah tanpa sokongan hantaran berkualiti ke arah penyerang, menyebabkan Shahrel sering terperangkap di antara pertahanan lawan tanpa bekalan bola.

Isunya bukan sekadar soal jaringan yang belum hadir, tetapi turut melibatkan aspek psikologi, pemadanan taktikal dan kejelasan peranan dalam pasukan masing-masing. 

Situasi itu juga memberi kesan langsung terhadap persaingan tempat dalam skuad Harimau Malaya. 

Di saat beberapa nama baharu dan pemain naturalisasi mula mencuri perhatian, kedudukan Syafiq dan Shahrel semakin rapuh apatah lagi kedua-dua pemain itu sudah mencapai usia 30-an. 

Mereka bukan sekadar perlu menjaringkan gol, mereka perlu membuktikan bahawa ‘taring’ yang pernah mereka miliki tidak patah dan tidak hilang. 

Yang tinggal kini hanyalah persoalan sama ada mereka mampu bangkit semula, atau adakah karier mereka akan berakhir?

Untuk rekod, DPMM dan Melaka FC ketika ini menghuni dua tangga tercorot Liga Super, dengan DPMM berada di kedudukan ke-11 dan Melaka di tangga terakhir ke-12, menguatkan lagi tekanan terhadap dua penyerang ini untuk segera bangkit.

DPMM dijadualkan menentang Negeri Sembilan pada 2 November ini dalam saingan Liga Super, manakala Melaka FC akan berdepan KL City pada 30 November.

Kedua-dua perlawanan itu bukan sahaja penting untuk mengubah kedudukan pasukan, tetapi juga menjadi peluang terbaik buat Syafiq dan Shahrel membuktikan bahawa sentuhan jaringan mereka belum hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram