[VIDEO] Bek Kedah-Ex Perak dan bintang Selangor FC II antara nama diperhatikan 'naik pangkat' ke Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Muhammad Hadi sudah meledak tujuh gol selepas mengharungi tujuh perlawanan. — Instagram/armedforcesfc

 

SAINGAN Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 semakin menarik dengan persaingan sengit dalam kalangan empat pasukan teratas.

Selepas sembilan perlawanan berlangsung, Selangor FC II muncul pendahulu liga dengan 23 mata hasil tujuh kemenangan dan dua seri.

Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kekal pencabar utama di tempat kedua dengan 19 mata, hanya dibezakan empat mata di belakang pendahulu, mencatat enam kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

BACA LAGI: Puji Selangor FC kelab terbaik di Asia, semoga 'terbuka mata' sambar winger Penang FC

BACA LAGI: Jurulatih JDT akui rindu setiap hari, harap rayuan FAM-FIFA bawa sinar

Sementara itu, Kedah FA dan Perak FA menunjukkan prestasi hampir sama, masing-masing mengumpul lima kemenangan dan hanya dibezakan satu mata, menempatkan mereka di tangga ketiga dan keempat.

Selain persaingan kedudukan, Liga A1 musim ini turut menonjolkan kebangkitan penyerang tempatan.

Berbeza dengan Liga Super yang didominasi pemain import dalam senarai penjaring terbanyak, Liga A1 masih menjadi medan penyerang lokal menunjukkan ketajaman mereka.

Prestasi cemerlang pemain tempatan ini bukan sahaja memberi saingan hebat kepada bintang import, malah membuka peluang untuk mereka 'dinaikkan pangkat' menyertai kelab Liga Super pada masa hadapan.

1) Pape Diakite

Kedah FA kini boleh menarik nafas lega berkat persembahan mantap Pape Diakite yang berjaya mengekang serangan lawan dengan cemerlang.

Berketinggian 1.93 meter, pemain pertahanan ini hanya membenarkan tiga gol bolos setakat ini,masing-masing ketika menentang JDT II, Malaysian University dan Armed Forces FC sekali gus menegaskan kekuatan benteng Kedah.

Dengan prestasi pertahanan yang kukuh, nama Diakite kini hangat diperkatakan sebagai calon untuk naik pangkat ke Liga Super.

Pape Diakite (kiri), ketua benteng pertahanan Kedah, hanya membenarkan tiga gol bolos setakat ini. — Instagram/kedahfa

Pemain kelahiran Senegal itu bukanlah asing di liga utama, setelah sebelum ini pernah menjadi tonggak pertahanan Terengganu FC pada musim 2022.

Diakite mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak apabila berkelana banyak kelab termasuk di Senegal, Slovakia, Belgium, Amerika Syarikat, Kanada dan Vietnam.

2) Hadi Mohamad

Menghuni kedudukan keempat sebagai penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro setakat ini, Muhammad Hadi Mohamad membuktikan dirinya selaku penggempur perlu diberikan perhatian setelah meledak tujuh gol selepas mengharungi sembilan perlawanan bersama Armed Forces FC.

Lebih mesra dengan panggilan ‘Hadi Messi’, bekas pemain Melaka FC musim lalu itu dilihat antara calon utama merebut gelaran Kasut Emas musim 2025/2026.

Dengan baki beberapa perlawanan yang masih terbuka, peluang untuk Hadi Mohamad mengekalkan status selaku penjaring terbanyak tampak cerah, lebih-lebih lagi dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan setakat ini.

Muhammad Hadi dikenali sebagai Hadi Messi. — Instagram/armedforcesfc

Pemain berusia 25 tahun berkenaan hadir daripada akademi bola sepak Selangor dengan karier awalnya bersama PKNS Bawah 19 tahun dan menyertai pasukan seperti Gergasi Merah, PIB, Perak FC II, Malaysia University dan Melaka FC.

Hadi Mohamad yang tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Super seolah-olah memberi petunjuk kepada kelab divisyen pertama untuk memantau bakatnya bagi memberinya kesempatan bermain di saingan teratas Liga Malaysia (Liga M).

3) Abdul Rahman Daud

Penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud kini mencuri tumpuan selepas menjadi penjaring terbanyak Liga A1 apabila sudah meledak 10 gol untuk skuad Gergasi Merah setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini.

Sumbangan mengagumkan itu jelas menjadi kunci di sebalik kedudukan memuaskan skuad muda Gergasi Merah ketika ini kerana dalam carta semasa, Selangor FC II kini sebagai pendahulu liga. 

Sekiranya pemain berusia 20 tahun berkenaan terus tampil konsisten mencetak gol untuk Selangor FC II, tidak terkejut jika barisan kejurulatihan skuad utama memberinya peluang untuk melakukan debut.

 

 

 

 

Kemasukannya dalam skuad utama boleh memberikan dimensi baharu buat pasukan memandangkan Selangor FC tidak mempunyai penyerang tempatan dan meletakkan kepercayaan kepada Chrigor Moraes dan Willian Lira.

Untuk info, Abdul Rahman merupakan antara bekas penuntut Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dia dilahirkan di Syria mempunyai darah kacukan Eropah apabila ibunya berasal dari Itali, manakala bapanya pula berasal dari Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram