DEBARAN menjelang keputusan FIFA berhubung keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin terasa dengan penyokong terus mengharapkan berita baik buat semua yang terlibat.
Ini termasuk peminat Velez Sarsfield yang mengharapkan bintangnya, Imanol Machuca segera terlepas dari hukuman dengan harapan tersebut disuarakan menerusi laman Instagram Sabado Velez.
"Khamis lalu, rundingan berlangsung yang mana pihak guaman mewakili Machuca memfailkan hujah mereka terhadap FIFA. Keputusan akhir berhubung rayuan dijangka dikeluarkan antara Isnin ke Selasa minggu depan.
BACA LAGI: Berbeza jalan cerita Machuca dan Palmero, nama Garces 'hilang' dari senarai pemain kelab
"Suasana menyelubungi pemain Velez itu amat optimis. (Mesej) 'Segala-galanya akan berjalan lancar' ditonjolkan," tulisnya.
Sebelum ini, terdapat ura-ura menyatakan keputusan rayuan FAM terhadap badan bola sepak antarabangsa itu akan dikeluarkan pada Jumaat, namun tiada sebarang perkembangan dikongsikan.
Penantian berkenaan semestinya menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong yang terus menantikan nasib dialami kesemua tujuh pemain warisan dikenakan penggantungan 12 bulan.
Selain Machuca, mereka yang dikenakan penggantungan itu ialah Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero serta Facundo Garces.

Machuca (kanan) mencatatkan satu penampilan buat Harimau Malaya setakat ini. — Instagram/Imanol Machuca
Kesemua daripadanya dihalang daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak untuk 12 bulan atas kesalahan pemalsuan dokumen bagi membolehkan mereka beraksi buat Harimau Malaya.
Ini kerana FIFA mendapati dokumen diserahkan adalah tidak tepat kerana tiada pengesahan bahawa datuk dan nenek yang dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN), FAM serta beberapa agensi lain menyangkal dakwaan tersebut dengan menjelaskan ketujuh-tujuh pemain tersebut berstatus warganegara.
Setiap hujah diberikan itu diharap mampu mengubah keputusan FIFA meskipun Tunku Ismail Sultan Idris sebelum ini menegaskan peluang kes tersebut berpihak kepada negara adalah tipis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
