RAYUAN dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap FIFA berhubung status tujuh pemain warisan digantung dilihat sukar untuk membuahkan keputusan berbeza selepas agensi media Argentina membuat pendedahan baharu.
Dalam sebuah laporan CDN yang berpangkalan di Argentina, dokumen sah memaparkan datuk kepada Facundo Garces dilahirkan di Santa Fe dan bukanlah di Malaysia seperti mana dinyatakan FAM terhadap FIFA.
Penemuan tersebut menguatkan lagi siasatan badan bola sepak antarabangsa itu berhubung dakwaan bahawa FAM melakukan pemalsuan dokumen melibatkan kesemua pemain warisan.
BACA LAGI: Berbeza jalan cerita Machuca dan Palmero, nama Garces 'hilang' dari senarai pemain kelab
BACA LAGI: Garces ikut jejak langkah Holgado terbang ke Malaysia, mahu buktikan asal usul datuknya

Dokumen didedahkan media Argentina dipercayai sijil kelahiran milik datuk kepada Garces.
FIFA sebelum ini menyatakan FAM menghantar dokumen palsu dengan menyatakan semua tujuh pemain itu mempunyai susur galur dengan Malaysia, namun sudah didedahkan sebaliknya.
Ini sekali gus memaksa organisasi antarabangsa berkenaan mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap mereka tertuduh selain denda yang juga dikenakan ke atas FAM.
Rayuan dibuat itu dijangka tidak memberikan kesan besar dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berpandangan sedemikian seperti mana dinyatakan dalam satu sidang media sebelum ini.
Bagaimanapun, badan bola sepak tanah air itu masih bertegas untuk membuat rayuan dengan harapan hukuman dikenakan FIFA dapat diringankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
