SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa pihaknya hanya menfokuskan kepada kelayakan tujuh pemain warisan negara yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk beraksi bersama Harimau Malaya ataupun tidak.
Memetik laporan Flash Sukan, AFC menanti keputusan daripada FIFA yang dijangka keluar pada Khamis selepas rayuan dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Di pihak AFC, tindakan yang akan dilakukan oleh mereka terhadap FAM adalah hanya berkaitan kelayakan tujuh pemain tersebut untuk bermain dengan skuad kebangsaan dan bukannya perkara lain.
BACA LAGI: Pecat Arne Slot? Liverpool sudah ada keputusan lepas tewas mengejut
BACA LAGI: Jaga-jaga Arsenal, Man United mungkin jadi pencabar dalam senyap musnahkan impian The Gunners
"Kami hanya akan bertindak berdasarkan fail kes manakah yang akan diberikan oleh FIFA kepada AFC. Harus diingat, ada dua fail kes iaitu rayuan disiplin menerusi Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan satu lagi adalah daripada tribunal bola sepak.
"Jadinya, akan ada dua keputusan bagi kami di AFC, kami hanya melihat kepada kelayakan para pemain tersebut kerana itu saja yang diambil kira oleh AFC.
"Hal ini kerana, aduan yang dibuat adalah pemain-pemain tersebut tidak sepatutnya bermain untuk Malaysia, kerana jika dilihat kepada laporan FIFA, aduan yang dibuat adalah disebabkan pemain-pemain tersebut mencurigakan dan tidak layak bermain untuk Malaysia.
"Mereka mungkin rakyat Malaysia (yang sah) dari segi konteks berlainan, tapi dari segi kelayakan untuk bermain, mereka adalah tidak. Jadi sebab itu FIFA membuat siasatan," ujar Windsor.
Tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan oleh FIFA itu adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Windsor berkata, tindakan AFC terhadap FAM akan dilaksanakan selewat-lewatnya 31 Mac 2026 iaitu sebelum undian peringkat kumpulan Piala Asia 2027 diadakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
