SAYA antara penyokong Selangor FC yang sentiasa menyambut baik usaha kelab untuk membangunkan bakat muda dalam kalangan pemain tempatan.
Dari tahun ke tahun, dapat disaksikan ramai pemain muda berkualiti dihasilkan dengan mereka menunjukkan potensi yang berjaya mengujakan penyokong.
Namun begitu, tidak semua potensi itu berjaya dipenuhi dengan dari tahun ke tahun juga, penyokong hampa melihat beberapa pemain yang dibawa daripada skuad muda gagal menyerlah.
BACA LAGI: Berdepan cabaran getir, 3 pengurus EPL 'botak' kepala nak kejar piala
BACA LAGI: Hukuman FIFA: AFC cuma fokus 7 bintang warisan layak atau tidak beraksi bersama Harimau Malaya

Perkembangan karier Aliff Haiqal dilihat terbantut kerana masih menghuni bangku simpanan. — Selangor FC
Malah, ada pemain yang sudah lama di dalam skuad utama hingga mereka turut bergelar pemain senior namun masih belum berjaya menyerlahkan potensi sebenar.
Saya bercakap mengenai Aliff Haiqal yang kebelakangan ini menjadi tumpuan kerana prestasi kurang baiknya di padang walaupun sudah lama bersama skuad utama Selangor.
Dia sudah b0leh dianggap sebagai pemain senior kerana usia sudah mencecah 25 tahun namun masih memanaskan bangku simpanan dan tidak menjadi pilihan utama seperti Harith Haiqal atau Sharul Nazeem (semoga cepat sembuh, Afro!).
Apabila sudah berusia 25 tahun dan masih tercari-cari tempat di bangku simpanan, boleh dikatakan yang perkembangan karier Haiqal terbantut walaupun berada di kelab stabil seperti Selangor.
Bagi kami sebagai penyokong yang melihat persembahannya sejak di skuad remaja, jelas kecewa kerana dia diharapkan dapat mengemudi skuad Gergasi Merah sekali gus menepati DNA Selangor yang sentiasa menghasilkan pemain berkualiti.
Saya tiada sebarang agenda buruk terhadapnya, cuma sekadar mahukan dia lebih berjaya sebagai pemain di padang walaupun mungkin tidak bersama Selangor.
Bagi saya, mungkin sudah sampai masa untuk Haiqal tinggalkan kelab kesayangan dan bermula semula di tempat baharu, mengikuti jejak langkah Danial Asri.
Danial mengambil keputusan sukar meninggalkan Selangor dan menyertai Kuching City FC pada musim ini untuk mendapatkan tempat, hasilnya permainannya kembali meningkat dan semakin baik.
Mungkin Haiqal perlu melakukan perkara serupa. Mungkin bukan ke Kuching, namun ke mana-mana kelab stabil yang boleh memberikan dia peranan lebih besar dalam pasukan untuk membolehkannya menyerlah.
Jika tidak keluar dari Selangor secara tetap, mungkin Haiqal boleh meminta untuk dipinjamkan ke kelab lain seperti yang dilakukan oleh rakan sepasukan, Sikh Izhan Nazrel untuk beberapa musim.
Masih belum terlambat untuk Haiqal kembali menyertai, dia ada potensi namun perkembangannya terbantut akibat saingan terlalu sengit di posisinya.
Prestasi macam terbantut di Selangor, nak tunggu apa lagi Aliff Haiqal? — Majoriti
Amran Aminuddin
Penyokong setia Gergasi Merah
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
