Terlepas aksi Brighton, Amorim optimis Maguire kembali daripada kecederaan


  • Podium
  • Khamis, 30 Okt 2025

Maguire menjadi watak penting ketika Manchester United mengejutkan Liverpool di tempat lawan. — Agensi

TIGA kemenangan berturut-turut Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini yang menaikkan pasukan itu ke tangga keenam selepas lapan perlawanan.

Rekod cemerlang tersebut menyaksikan skuad The Red Devils berada di kedudukan lebih baik berbanding pencabar serius musim ini seperti Chelsea, Newcastle United serta pemegang takhta liga, Liverpool.

Prestasi berkenaan sudah tentu mahu diteruskan menjelang perlawanan selepas ini apabila pasukan bimbingan Ruben Amorim itu bakal berdepan Nottingham Forest di tempat lawan.

BACA LAGI: 2 kelab Arab Saudi berebut khidmat percuma Harry Maguire

BACA LAGI: Bukan Tim Cahill, sebaliknya bekas rakan sepasukan Maguire jadi pengganti Mark Milligan

Manchester United berada dalam rentak terbaik susulan tiga kemenangan berturut-turut. — Agensi

Aksi yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu itu perlu menjadi medan buat Manchester United mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam EPL.

Malah, skuad The Red Devils juga tampak bersedia untuk memberikan aksi terbaik selepas mengalu-alukan kepulangan bek tengah, Harry Maguire yang sebelum ini terpaksa disisihkan dari perlawanan berdepan Brighton & Hove Albion.

Pemain antarabangsa England itu menjadi nadi utama pasukan ketika menundukkan Liverpool di tempat lawan apabila tandukannya pada minit akhir permainan memastikan kemenangan 2-1 buat Manchester United.

Tetapi, dalam sesi latihan selepas perlawanan berkenaan, Maguire dilaporkan mengalami kecederaan ringan sehingga membuatkannya tidak dapat diturunkan ketika berdepan skuad The Seagulls.

Nottingham Forest tidak boleh diperkecilkan meskipun kini berada dalam zon penyingkiran. — Agensi

Perkembangan terbaru dikongsikan Amorim menyatakan dia sudah semakin hampir bersedia untuk beraksi dengan berita berkenaan membawa kegembiraan buat penyokong.

"Saya hanya mahu membuktikan setiap masa bahawa setiap pemain adalah penting dalam pasukan ini. Kita mempunyai skuad yang begitu baik," kata Amorim.

Ramalan awal menjangkakan Manchester United tidak berdepan sebarang masalah untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan itu kerana Forest kini berada dalam zon penyingkiran.

Bagaimanapun, kehadiran Sean Dyche sebagai pengurus baharu kelab itu mula membuahkan hasil setelah mereka mencatatkan kemenangan pertama ketika berdepan Porto dalam saingan Liga Europa UEFA. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram