ARSENAL tampil garang dalam bahagian awal perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka menewaskan Crystal Palace 1-0 pada Ahad.
Kemenangan itu membolehkan The Gunners meraih kemenangan ketujuh dalam sembilan perlawanan sekali gus memperoleh 22 mata sambil mencipta jurang empat mata di hadapan pencabar terdekat iaitu Bournemouth.
Tiga mata diraih Arsenal pada minggu ini dilihat cukup manis selepas dua pencabar kejuaraan, Manchester City dan Liverpool mengalami kekalahan.
BACA LAGI: Pastikan sahih sebelum ‘lamar’ Josh Robinson, ambil iktibar kisah 7 pemain warisan
BACA LAGI: [VIDEO] Hampa ‘debut’ Moto3 tak menjadi, Hakim Danish tetap disambut bak wira di Sepang

Arsenal konsisten memenangi perlawanan walaupun jumlah jaringan tidak besar. — Agensi
Bagi pemerhati bola sepak England, Gary Neville, Arsenal sebenarnya tiada alasan untuk tidak berjaya membawa pulang gelaran EPL musim ini selepas tiga musim menjadi naib johan.
Menurut Neville, perubahan dalam skuad Arsenal musim ini tidaklah terletak pada kualitinya, namun konsistensi dicipta The Gunners dalam meraih tiga mata saban minggu harus dipuji.
Jika dilihat, setiap keputusan diraih Arsenal bukannya kemenangan besar, namun ia sudah cukup untuk memberikan mereka tiga mata setiap minggu.
"Tahun ini sepatutnya jadi tahun mereka, saya sudah menyokong Arsenal untuk menjadi juara untuk tiga tahun, masuk tahun ini adalah tahun keempat.
"Mereka tidaklah begitu baik berbanding tahun lalu tapi mereka terus konsisten dan itu saja yang mereka harus lakukan tahun ini untuk memenangi liga.
"Mereka tidak akan dapat jumlah mata sebanyak 90 atau 100, namun mereka boleh dapat 80 mata untuk meraih gelaran, mereka boleh lakukannya," kata Neville yang juga bekas pemain Manchester United.
Salah satu kunci kekuatan Arsenal musim ini adalah keutuhan pertahanan yang dibina oleh Mikel Arteta sejak beberapa musim lalu.
Walaupun ada masanya barisan serangan tidak begitu tajam, namun pertahanan Arsenal cukup ampuh dan ia boleh menjadi kunci kepada kejayaan mereka memenangi EPL.
"Anda boleh menaruh harapan terhadap Arsenal, mereka tidak memboloskan gol. Mereka tiada penyerang sensasi tapi mereka ada pemain yang boleh membuat kerja dan mendapatkan hasil untuk mereka.
"Ini adalah gelaran anda, Arsenal, saya tidak pernah rasa sebegitu yakin seperti ini, pada awal musim sebegini, tapi inilah dia. Ini bukannya terlalu yakin atau meletakkan tekanan, mereka pasti sudah merasainya, ini adalah detik mereka untuk kembali ke puncak.
"Ini adalah peluang mereka, mereka harus mengambilnya," ujar Neville. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
