2 kelab Arab Saudi berebut khidmat percuma Harry Maguire


  • Podium
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Harry Maguire dilaporkan menjadi sasaran dua kelab Arab Saudi. — Instagram/harrymaguire93

BINTANG pertahanan Manchester United, Harry Maguire kini menjadi sasaran dua kelab dari Liga Pro Saudi.

Namun, pemain berusia 32 tahun itu hanya bersedia untuk membuat keputusan mengenai masa depannya selepas musim ini berakhir.

Maguire, yang kontraknya bersama United akan tamat pada penghujung musim ini, telah memaklumkan kepada kelab-kelab tersebut bahawa dia mahu menghabiskan baki musim ini di Old Trafford sebelum mempertimbangkan sebarang perpindahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dengan gaya bersahaja, tonggak Melaka Titans mudah perdaya regu Jepun

BACA LAGI: ‘Flop’ di NSFC, bek Nigeria dipersoal jadi pilihan Perak FA bukannya penyerang

Bek kental Man United, Harry Maguire dilaporkan diintai dua kelab Liga Pro Saudi. Instagram/harrymaguire93

Walaupun jendela perpindahan di Arab Saudi hanya akan ditutup pada 23 September, bekas kapten United itu enggan berpindah dalam masa terdekat dan memilih untuk kekal fokus bersama skuad kendalian Ruben Amorim.

United sebelum ini telah menolak beberapa tawaran untuk Maguire daripada kelab dalam Liga Perdana Inggeris dan Serie A pada musim panas lalu.

Walaupun kontraknya secara rasmi tamat pada penghujung musim lalu, Man United telah mengaktifkan klausa lanjutan satu tahun, sekali gus mengekalkan khidmatnya sehingga tahun 2026.

Pemain kebangsaan England itu bebas untuk berunding dengan kelab luar negara bermula Januari ini, namun dia turut membuka kemungkinan untuk kekal lebih lama di United sekiranya kelab itu benar-benar masih memerlukan khidmatnya.

Maguire menyertai United pada 2019 dengan nilai perpindahan sekitar RM500 juta (£85 juta) dari Leicester City dan telah membuat lebih 200 penampilan untuk kelab tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya Man United tidak memperbaharui kontrak bek tersebut, Maguire akan berpindah secara percuma.

Berdasarkan laporan semasa, dua kelab Arab Saudi dikatakan berminat dengan khidmat bek Manchester United itu, namun tidak dipastikan pasukan manakah dimaksudkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram