Bukan Tim Cahill, sebaliknya bekas rakan sepasukan Maguire jadi pengganti Mark Milligan


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

Cklamovski (kanan) memerlukan pembantu bagi perlawanan akan datang selepas pemergian Milligan yang mengejutkan. — Facebook/Malaysia NT

SELEPAS hanya dua bulan berkhidmat, Mark Milligan yang sebelum ini merupakan pembantu Peter Cklamovski dalam Harimau Malaya meninggalkan jawatan tersebut setelah laporan mengatakan kelab Australia, Newcastle Jets berminat akan khidmatnya.

Pemergiannya itu meninggalkan kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dengan seorang berpengalaman diperlukan bagi membantu pengendali kelahiran Australia berkenaan.

Namun, ia bukanlah satu-satunya kriteria diperlukan kerana Cklamovski pasti memerlukan jurulatih yang pernah berada dalam satu tahap tinggi supaya dapat membawa Harimau Malaya ke peringkat baharu.

BACA LAGI: Cklamovski sahkan Dion Cools-Hector Hevel di fasa 3, tak sempat beraksi menentang Cape Verde

BACA LAGI: ‘Kami perlu keluar zon selesa’, Peter Cklamovski tak pandang rendah cabaran Cape Verde

Tim Cahill yang pernah beraksi di Everton dikaitkan dengan tugasan pembantu Cklamovski sebelum ini. Agensi

Berdasarkan laporan terdahulu, pengganti kepada Milligan merupakan bekas pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton dengan ramai menjangkakan penasihat peribadi Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tim Cahill sebagai calon utama.

Ini kerana bekas kapten Australia tersebut menghabiskan lapan musim bersama skuad The Toffees selain amat memahami selok-belok bola sepak di rantau Asia sepanjang bergelar pemain.

Bagaimanapun, spekulasi itu segera dipadam Cklamovski sendiri selepas pengendali Harimau Malaya tersebut menyatakan pengganti kepada Milligan merupakan Jose Baxter yang juga merupakan bekas pemain Everton.

"Dia akan berada dalam kem latihan bersama kami dan ia merupakan pelantikan yang sudah lama kami mahukan sebagai pembantu jurulatih dalam skuad kebangsaan. Kami juga ada perancangan mencari pembantu kepada Nafuzi Zain dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23).

Baxter tidak pernah bergelar jurulatih sebelum menyertai skuad kebangsaan. Agensi

"Kami lihat ini merupakan peluang kepada Jose untuk berada dalam pasukan utama dan menggantikan Milligan dengan harapan dia dapat mencurahkan kelainan ke dalam skuad selain membawa DNA skuad senior dalam ke dalam pasukan simpanan," katanya.

Sejak mengumumkan persaraan dalam dunia bola sepak pada 2021, bekas 'ubi muda' Everton itu belum menceburi bidang kejurulatihan secara mendalam, namun berpengalaman bersama akademi kelab lamanya itu.

Bagaimanapun, sepanjang kariernya di atas padang, Baxter pernah mewakili beberapa pasukan sekitar England seperti Plymouth Argyle serta Memphis 901 yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Meskipun tidak mempunyai rekod gelaran cukup baik, jurulatih berusia 33 tahun terbabit mempunyai pengalaman beraksi di samping nama-nama besar, termasuk kapten Manchester United, Harry Maguire semasa kedua-duanya beraksi di Sheffield United.

Kehadirannya diharapkan mampu membawa perubahan dalam Harimau Malaya yang bercita-cita melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2027 selepas pelaburan besar dilakukan bagi memperkuatkan pasukan kira-kira setahun kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram