Ibarat 'dijangkiti' wabak serupa, Sabah-Selangor berkongsi masalah sama punca merosot teruk


  • Podium
  • Selasa, 28 Okt 2025

Selangor FC (kiri) dan Sabah FC masing-masing ghaib dalam bayang-bayang sendiri musim ini.

KEMEROSOTAN prestasi Selangor FC musim ini jelas ketara selepas mereka hanya berada di tangga ketujuh selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super.

Malah, dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two, skuad Gergasi Merah turut kelihatan bergelut kerana masih belum meraih sebarang mata setelah tiga kali beraksi.

Ini merupakan satu kemerosotan berbanding musim lalu apabila kelab Lembah Klang itu beraksi secara konsisten untuk berada di tangga kedua Liga Super.

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai didukung keluar stadium, Selangor FC sahkan Sharul Nazeem cedera ACL

BACA LAGI: Peluang kedua pun tak jadi, import Selangor-JDT masih bergelut harungi musim 'comeback' kancah Liga M

Carta semasa Liga Super menunjukkan Selangor FC dan Sabah FC terus bergelut. Facebook/MFL

Bagaimanapun, Selangor FC bukanlah satu-satunya pasukan digeruni tanah air yang mengalami kemerosotan prestasi apabila Sabah FC yang beraksi cemerlang untuk tiga musim terakhir turut mengalami masalah sedemikian.

Pasukan kendalian Jean-Paul de Marigny itu belum merekodkan sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super 2025/26 dengan dengan empat keputusan seri dan tiga kekalahan dialami.

Masalah dihadapi skuad Sang Badak tersebut jelas seakan-akan sama dengan apa yang dialami skuad Gergasi Merah dengan peluang kedua-dua pasukan merebut tempat ke pentas Asia musim depan semakin tipis.

Sekiranya hendak dibincangkan mengenai faktor di sebalik kemelut prestasi itu, terdapat tiga faktor serupa dihadapi Selangor FC dan Sabah FC ketika ini.

1. Import tidak sesuai

Sebelum berbicara mengenai isu lebih luas, masalah kedua-dua pasukan tersebut boleh dilihat sekiranya diperhatikan kepada kualiti import yang dibawa masuk.

Meskipun semua daripadanya memiliki karier yang baik, ia tidak menjanjikan kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam pasukan sehingga pada akhirnya hanya menjadi beban.

Selangor FC yang membawa masuk Zach Clough dan Willian Lira pada tempoh perpindahan lalu jelas tidak menyedari perancangan barisan kejurulatihan dengan profil pemain tersendiri.

Zach Clough (left) tries to evade the attentions of Asia Warriors’ Victor Igbonefo. - Photo by Selangor FC

Zach Clough masih bergelut untuk menyesuaikan diri dalam skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Isu sedemikian turut menimpa Sabah FC yang membawa masuk Dane Ingham, Dean Plekanos dan Ajdin Mujagic dengan ketiga-tiganya belum dapat menyesuaikan diri.

Hal tersebut menceritakan bagaimana pihak pengurusan dan kejurulatihan tidak membuat perancangan teliti dalam mengenal pasti pemain terbaik untuk mengisi kuota import.

Kesannya, perbelanjaan besar dikeluarkan untuk menampung gaji mereka hanya disia-siakan dengan peruntukan itu sebenarnya boleh disalurkan kepada pembangunan infrastruktur lebih baik.

2. Pihak pengurusan kurang cekap

Pihak pengurusan juga perlu bertanggungjawab berhubung isu pasukan kerana sekiranya mereka bekerja keras sepanjang tempoh pramusim, ia akan membuahkan hasil di atas padang.

Masalah melibatkan pihak atasan Selangor FC kerap kali ditekankan dengan pasukan penyokong berkali-kali menekankan agar rombakan dibuat terhadap struktur organisasi.

Namun, walaupun sudah acap kali diminta, perjumpaan dibuat belum membuahkan sebarang hasil dengan setiap pertemuan gagal membuahkan jawapan jelas.

Penyokong Selangor pernah mendesak supaya pertemuan dengan pihak pengurusan dapat diadakan.

Sementara itu, isu terbabit juga melanda kem Sabah FC kerana pihak pengusan semakin sepi setiap kali hal-hal berkenaan prestasi skuad Sang Badak dibangkitkan.

Di samping gagal membawa masuk sumber pelaburan kukuh, pihak atasan turut dikritik apabila tiada sebarang kemajuan cuba diterapkan, baik di dalam mahupun di luar padang.

Perkara tersebut membuktikan Selangor FC dan Sabah FC mempunyai masalah serupa berkaitan pihak pengurusan yang kurang cekap serta teliti dalam membuat sebarang keputusan.

3. Penggiliran barisan kejurulatihan

Seperti mana sering diperkatakan di media sosial, kekerapan Selangor FC membuat penggiliran barisan kejurulatihan membuatkan skuad Gergasi Merah sukar mencipta identiti tersendiri.

Malah, Cristophe Gamel yang dibawa masuk untuk menggantikan Katsuhito Kinoshi secara interima merupakan pengendali kesembilan pernah dilantik dalam tempoh lima tahun terakhir, termasuk yang dibawa masuk secara interim.

Bagi Sabah FC pula, keputusan lewat untuk melantik Jean-Paul pada penghujung jendela perpindahan menyukarkannya untuk mencipta sebuah pasukan berdasarkan acuannya.

Skuad Sang Badak tidak lagi sama sejak kehilangan khidmat Kim Swee. — Facebook/Sabah FC

Hasilnya, skuad Sang Badak ketika ini bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik seperti mana pernah diterapkan Datuk Ong Kim Swee ketika pasukan tersebut digeruni seketika dahulu.

Perubahan pihak kejurulatihan ketika ini tidak boleh menjanjikan sebarang perubahan positif, namun pihak pengurusan perlu memberi sokongan penuh dan masa mencukupi buat Gamel dan Jean-Paul.

Tetapi, andai kata mereka masih berpandangan perubahan barisan kejurulatihan dapat menjanjikan aksi lebih baik, keputusan terbaik perlu dilakukan bagi mengelak tragedi sama berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram