Tiket tak lagi laku, NSFC perlu pantas kekalkan kemeriahan di Paroi


  • Podium
  • Khamis, 23 Okt 2025

Skuad Jang terpaksa menelan pahit selepas tewas 0-4 di tangan Selangor FC aksi suku akhir pertama Piala FA baru-baru ini. — Facebook/NSFC

KEKALAHAN teruk dialami dalam suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC memberi tamparan hebat terhadap Negeri Sembilan FC yang mula menunjukkan kelemahan.

Lebih merisaukan lagi, keputusan mengecewakan itu menyaksikan skuad Jang sukar untuk menarik penonton ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk aksi akan datang berdepan PDRM FC.

Setakat ini, hanya kira-kira 3,000 tiket terjual bagi perlawanan pada Sabtu itu dengan angka tersebut adalah cukup kecil berbanding kutipan bagi hampir kesemua aksi di laman sendiri.

BACA LAGI: 'Tiada yang mustahil', bintang DPMM FC bawa mindset positif hadap JDT di SSI lepas raih kemenangan sulung

BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

Skuad Jang mencatat rekod kehadiran 25,550 penyokong di Stadium Paroi ketika menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA. Facebook/NSFC

Masalah itu dikhuatiri akan berlarutan kerana penyokong tidak lagi bersemangat untuk turun ke stadium sekiranya skuad Jang terus bergelut dalam mencatatkan keputusan positif secara konsisten.

Untuk rekod, Negeri Sembilan FC menjadi satu-satunya pasukan dengan kehadiran lebih 100,000 penyokong musim ini termasuk aksi menentang Selangor, Kuching City FC, Sabah FC dan PDRM FC dalam saingan Liga Super serta Piala FA.

Dalam menyelesaikan masalah itu, pihak pengurusan perlu bertindak aktif dalam mengembalikan kemeriahan di Stadium Paroi.

Oleh itu, pihak pengurusan NSFC perlu segera memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat dan penyokong bagi memastikan kehadiran ke Stadium Paroi kekal konsisten sepanjang musim.

Hubungan erat antara kelab dan komuniti bukan sahaja membina rasa kepunyaan dalam kalangan penyokong, malah mendorong mereka untuk terus hadir memberikan sokongan tanpa mengira prestasi semasa pasukan.

Apabila penyokong merasakan mereka sebahagian daripada perjalanan kelab, kehadiran mereka ke stadium akan menjadi satu komitmen bukan sekadar pilihan.

Barisan pemain tumpuan seperti Mio Tsuneyasu (kiri) disaran agar lebih aktif bertemu peminat sama ada menerusi sesi ramah mesra. Facebook/NSFC

Bagi menarik minat generasi muda, NSFC wajar mempergiatkan penglibatan komuniti melalui kerjasama dengan sekolah, institusi pengajian tinggi dan pelbagai program kemasyarakatan.

Selain itu, barisan pemain tumpuan seperti Takumi Sasaki, Jovan Motika, Mio Tsuneyasu, Joseph Esso dan Azri Ghani disaran agar lebih aktif bertemu peminat sama ada menerusi sesi ramah mesra, aktiviti komuniti atau promosi perlawanan.

Pendekatan mesra penyokong itu mampu menjadi tarikan tambahan untuk membawa lebih ramai ke stadium, sekali gus mengembalikan kemeriahan Paroi seperti yang pernah dilihat sebelum ini.

Di samping itu, kemenangan ke atas PDRM FC boleh menjadi pemangkin semangat buat penyokong yang sebelum ini mungkin kecewa dengan keputusan perlawanan lalu.

Apabila pasukan menang, penyokong lebih bersemangat untuk turun ke stadium bagi memberikan sokongan secara langsung.

Jika keputusan perlawanan terus mengecewakan, penyokong akan hilang minat dan memilih untuk tidak hadir ke stadium.

Dalam suasana saingan Liga Malaysia yang semakin mencabar, NSFC perlu menunjukkan bahawa mereka masih bersaing secara kompetitif.

Skuad Jang disarankan memberi peluang kepada Luqman Hakim (kiri) beraksi penuh 90 minit. Facebook/NSFC

Oleh itu, kemenangan menentang PDRM akan menunjukkan kepada penyokong bahawa pasukan masih ‘hidup’ dan layak untuk mendapat sokongan berterusan.

PDRM FC bukanlah pasukan gergasi dalam liga dan dianggap lawan yang setara atau boleh ditewaskan, jika NSFC gagal menang, ia boleh menjejaskan moral penyokong kerana melepaskan peluang dalam perlawanan yang sepatutnya memberi tiga mata.

Selain itu, pihak pengurusan skuad Jang disarankan memberi peluang penuh kepada Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi selama 90 minit terutama di Stadium Paroi kerana permintaan tinggi penyokong yang mahu melihat aksi pemain berpengalaman luar negara itu.

Peluang itu bukan sahaja dapat meningkatkan kehadiran penyokong di stadium, tetapi juga membantu mengembalikan prestasi Luqman dan memperkukuh imej NSFC sebagai kelab yang menyokong bakat tempatan.

Selain itu, aksi penuh Luqman berpotensi menaikkan populariti kelab serta memberi impak positif kepada penjualan tiket dan barangan rasmi.

Langkah itu penting untuk merancakkan kembali semangat dan kemeriahan bola sepak di Stadium Paroi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram