
TIDAK semua pemain cemerlang bernasib baik berada dalam pasukan hebat apabila ada yang terus menunjukkan prestasi luar biasa meskipun kelab mereka gagal menyaingi rentak lawan.
Jika diamati, situasi sebegitu rupa seolah-olah membuat tenaga dan bakat pemain cemerlang berkenaan sedang terperangkap dalam sistem yang tidak mampu menampung potensi sebenar mereka.
Setiap kali mereka turun ke padang, pemain-pemain cemerkang itu akan menghidangkan aksi individu yang luar biasa, namun sering berakhir dengan keputusan pasukan yang mengecewakan.
BACA LAGI: Dilema Selangor antara Osmar Loss-KPG, ada rekod baik tewaskan JDT atau faham bola sepak Malaysia
BACA LAGI: JDT buat keputusan tepat, bekas bintang Real Madrid masih bergelut di Las Palmas
Situasi berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila penyokong bukan lagi memperdebatkan komitmen atau kesetiaan mereka, tetapi soal hala tuju karier pemain cemerlang itu.
Dalam konteks semasa liga tempatan dan rantau ini, muncul beberapa nama yang jelas membuktikan mereka beraksi di tahap lebih tinggi berbanding rakan sepasukan dengan kelompok pemain itu wajar mencari pentas baharu demi karier.
1) Stuart Wilkin
Tiba sebagai pemain pinjaman sehingga diubah kepada tonggak tetap, Stuart Wilkin masih tampil dengan aksi konsisten bersama Sabah FC sejak dia tiba pada awal musim 2022.
Bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) berkenaan sudah menghasilkan 16 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 98 perlawanan The Rhinos dengan Wilkin terus menjadi nadi tengah Sang badak.
Pemain berusia 27 tahun berkenaan bukan hanya kerap memberikan persembahan memuaskan pada setiap kali diturunkan, Wilkin juga mempunyai kebolehan melakukan rembatan di luar kotak penalti.
Ketika Sabah FC berada pada kedudukan ke-12 liga musim ini, bekas pemain akademi Southampton FC terus menjadi ancaman pihak lawan apabila dia sudah memberi tiga bantuan jaringan setakat ini.
Dengan prestasi sebegitu rupa, kelab berpangkalan di Borneo itu jangan terkejut jika Wilkin terus mendapat perhatian pasukan lain seperti musim-musim lepas apabila Selangor FC dan kelab Thailand dilaporkan mahu mendapatkan khidmatnya.
2) Ifedayo Olusegun
Penyerang berpengalaman Liga Malaysia (Liga M), Ifedayo Olusegun musim ini menjadi 'mesin gol' buat Kelantan The Real Warrios (TRW) apabila dia sudah mencetak enam gol dalam lapan perlawanan setakat ini.
Ketajaman pemain kelahiran Nigeria berkenaan dianggap tidak sesuai untuk kelab seperti Kelantan TRW yang sering tampil dengan aksi tidak konsisten pada saingan liga mahupun Piala FA.
Prestasi Ifedayo yang tidak pernah mengecewakan itu membuatkan sebahagian penyokong melihat pemenang Kasut Emas musim 2020 dan 2021 berkenaan boleh memberikan kepakarannya kepada pasukan lebih baik.
Malah, kemampuan luar biasa Ifedayo dalam mencari ruang dan menyempurnakan peluang di depan gawang jelas memperlihatkan tahap kualitinya berada jauh di atas majoriti pemain lain dalam skuad Kelantan TRW ketika ini.
Lebih menyedihkan, ketajaman dan pengalaman luasnya di pentas Liga Malaysia seakan-akan tidak dimanfaatkan sepenuhnya apabila corak permainan TRW sering gagal menyokong kekuatan sebenar penyerang berbisa itu.
3) Dylan Wenzel-Halls
Ketika Penang FC yang dibelenggu masalah kemerosotan pada musim lepas, bintang import dari Australia iaitu Dylan Wenzel-Halls menjadi 'penyembuh luka' penyokong Harimau Kumbang.
Dylan yang tiba ke bumi George Town pada Februari 2024 memberi senyuman buat pengikut Penang FC apabila persembahannya secara menyeluruh membuktikan nilainya jauh meninggalkan rakan sepasukan.
Pemain berusia 27 tahun berkenaan setakat ini sudah mencetak lapan gol dan lapan bantun jaringan dalam 27 perlawanan bersama Harimau Kumbang dengan hatrik ketika bertemu Perak FC pada musim lepas antara paling diingati.
Seperti musim lepas, kempen 2025/2026 setakat ini juga menyaksikan Harimau Kumbang masih di tahap kurang memuaskan meskipun Dylan sudah menjadi watak utama di jentera serangan.
Tidak hairan apabila ada suara penyokong menganggap karier penyerang Australia itu lebih layak diteruskan bersama kelab yang mempunyai cita-cita dan struktur lebih besar agar bakatnya benar-benar dimanfaatkan di pentas lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram